i May 2011 ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Melangkah Bersama Islam

Kelab Al-Azhar Members KUIS (ALAM KUIS) merupakan sebuah persatuan mahasiswa bernaung di bawah Masjid Al-Azhar KUIS.

Pemangkin Generasi Intelektual

NISA Al-Azhar Members KUIS merupakan sayap siswi bagi Kelab Al-Azhar Members KUIS.

Ahlan Ya Ramadhan !

Jadikan Ramadhan tahun ini platform anda tqarrub pada Allah!

Monday 2 May 2011

Rindu Subuh

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain diriku menyambut seorang tetamu tetapku. “Subuh”.

Subuh menyapaku dengan salam. “Wa’alaikummus salam,” sahutku.

Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang merupakan tugasnya setiap hari.

“tadi ...”, kata Subuh dengan sayu,” ... saya baru sahaja melintasi satu tempat yang didiami ramai manusia, ku cari tempat persinggahan, ku ketuk rumah-rumah sunyi, tapi satu pun tidak mahu menerimaku sebagai tetamu.”

Dan air mata Subuh pun berlinangan.


“Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah saya menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.

“Oh ya, tadi saya lalu  di suatu  tempat yang tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat dan mengiurkan. Hidangan yang paling ku suka adalah buah tahajjud, puas ku cari di bumi lain, tapi jarang ku jumpa. Di situ saya meratah buah tahajjud dengan puas dan leka”.

Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh.

“Maaf Subuh, saya tiada menanam pohon qiam, jadi saya tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi saya ada roti sahur.” cadangkan pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. “Roti itu ada tuan punyanya.” kata Subuh.

“Adakah kau mahu manisan zikir?”, rayuku pada Subuh.

“Baiklah, ambilkan saya sedikit, serta bawakan saya segelas air mata tangisan.” pinta Subuh.

Aku agak sugul. Bagaimana harusku memberitahu Subuh yang air mata tangisan sudah  hampir kekeringan akibat kemarau maksiat yang berpanjangan?

Namun, aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang memuatkan mata air tersebut. Aku separuh terkejut, perigi tersebut hampir separuh penuhnya dan terdetik di dalam hatiku, adakah ini petanda kemarau akan berakhir?

Tanpa berlengah lagi ku bawa air tersebut pada Subuh, tetamu yang ku sanjungi, dan ku suapkan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah  semuanya, Subuh pun melirikkan senyuman.

“Subuh...”, seruku.

“ ....mahukah kau tinggal selamanya denganku? Saya memerlukan teman dalam kesunyian. Akan ku layan dirimu dengan  sebaiknya, wahai Subuh.”

Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku takkan dipenuhi.

“Saya perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana saya menguliti mimpimu”.

Dan diriku akur dengan penjelasan Subuh. “Subuh …”, seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi. “Sudikah dikau menziarahi ku lagi esok hari?”

“Insyaallah”, jawab Subuh. “ ... bukankah saya kekasih yang kau rindui?”

Subuh berangkat lambat tetapi tetap. Dan mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin laju dengan setiap langkah. Akhirnya Subuh hilang dari pandangan.

Pesanan Bersama : Rindu Yang Hakiki Adalah Rindu Kepada Allah & Allah Rindu Kepada Hambanya Yang Menghidupkan Waktu 2/3 Malamnya Yang Hampir Dengan Subuh...

Tok Pulau Manis : Ulama Nusantara Yang Disegani


TOK PULAU MANIS atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Malik lahir di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060H / 1650M, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama diperingkat awal dari kaum keluarganya sendiri. Tok Pulau Manis kemudiannya belajar di Aceh yang digelar “Serambi Mekah”.

Adalah dipercayai  beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama’ besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050H/ 1620-1693M) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang  dikarang dalam  Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf  Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah  sekitar tahun 1680M, ketika itu beliau dipercayai berumur 30 tahun.

Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama’-ulama’ terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011H/1616-1690M), yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari  Terengganu,  Faqih Abdul Kadir Palimbang,  Faqih, Abdul Rahman Patani, Faqih Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian.

Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Tok Pulau Manis telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf di samping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu lain seperti nahu, saraf dan sebagainya. Beliau mendalami Fiqh al-Syafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Syafie di sana.


Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahli al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ‘ubudiyah kepada pengajian Tasawwuf.

Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, antara yang  orang yang terpenting ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Syazili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abdullah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Ghazali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, ibn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. 

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawa. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawa yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fattani, Syeikh Abdul Samad Palembang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib  Abdul Latif Minangkabau. 

Sebagai guru yang amat meminati Tasawwuf beraliran etika ‘Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih untuk mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin, Matan Hikam Ibnu Ata’ullah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik.

Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam Melayunya :

“bahawasanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salih untuk menterjemahkan aku akan dia dengan bahasa Jawi  supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikian itu dengan  sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah aku memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia.”

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang,  sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut, Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1960-an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan diperkukuhkan lagi dengan Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam konteks perkembangan sosial semasa.

Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Zainal Abidin I menjadi  sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734M) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik  berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis, baginda juga telah turut sama berpindah dan  menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu.

Tok Pulau Manis menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama’ istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Tok Pulau Manis berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan   mengetuai majlis-majlis tersebut.

Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama’ dan Mufti beliau mengeluarkan fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum-hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fiqh.


Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun iaitu pada tahun 1149H bersamaan 1736M sebagaimana yang tercatat pada makamnya. Semoga rohnya dirahmati Allah.