Kelab Al-Azhar Members (ALAM) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) merakamkan ucapan takziah atas pemergian seorang tokoh ulama Malaysia, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak. Allahyarham yang telah pergi bertemu Allah s.w.t pada jam 11.15 pagi hari ini (Khamis, 26 September 2013) telah meninggalkan seribu satu jasa dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah s.w.t khususnya di bumi Malaysia.
Sejak penyertaan Ustaz Azizan ke dalam gerakan Islam, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dari tahun 1978 hingga kini, melalui amanahnya sebagai Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS (2001-2003), ahli Majlis Syura Ulama PAS, AJK PAS Pusat juga Pesuruhjaya PAS Kedah, seluruh keringat dan fikiran disumbangkan ke jalan Allah s.w.t. Beliau yang juga tokoh pendidik melalui jasanya sebagai pensyarah di beberapa buah universiti dan juga tokoh kepimpinan Islam yang adil sebagai Menteri Besar Kedah pastinya akan tersemat rapi di ingatan umat Islam apatah lagi sebagai bekalan jariah bertemu Allah s.w.t.
Menjadi iktibar dan keinsafan bagi kita untuk memastikan kita sentiasa berada di jalan perjuangan Islam dan melazimi doa moga Allah s.w.t juga mematikan kita di jalan Allah s.w.t biar dalam apa jua kondisi dan lapangan mana sekalipun kita berada kini.
Semoga Allah s.w.t menempatkan beliau bersama para solihin dan dikira sebagai syuhada di jalan Allah s.w.t. Al-Fatihah.
Akram Ikrami Bin Taib Azamudden
Presiden Kelab Al-Azhar Members (ALAM) KUIS
20 Zulkaedah 1434 / 26 September 2013
1 pandangan:
AL FATIHAH..
Post a Comment