DEKLARASI BALFOUR 1917: LUKA YANG BELUM SEMBUH
Oleh: Muhammad Syahmi Moktar
1. Siri penindasan dan kezaliman ke atas umat Islam di Palestin seringkali menjadi isu hangat dibicarakan sama ada di peringkat lokal mahupun meja rundingan antarabangsa. Biarpun negara-negara kuasa besar dunia khususnya Barat lantang dengan slogan berbentuk keadilan, penjagaan hak kemanusiaan dan ketelusan, namun mereka sendiri jugalah yang menjarah maruah umat Islam demi melangsungkan dasar kolonialisme mereka.
2. Perang Dunia Pertama (1914-1918) memperlihatkan kepada kita penglibatan Empayar Turki Uthmaniyyah dalam blok Central Empires yang terdiri daripada beberapa buah negara iaitu Jerman, Austria-Hungry, Bulgaria dengan blok Soviet Union yang terdiri daripada British, Perancis dan koloni-koloninya. Kekalahan dalam Perang Dunia Pertama ini telah membuka laluan kepada British untuk memulakan percaturan kuasa mereka terhadap Asia Barat termasuklah bumi Palestin. Tertubuhnya Pertubuhan Zionis Antarabangsa (1897) juga menjadi salah satu faktor dorongan dalam penubuhan negara haram Israel dalam resolusi yang dibuat pada persidangan pertama iaitu ' Establishment in Palestine of a National Home for the Jews '.
3. Allah telah mengingatkan kepada kita serangan yang tidak berputus dari musuh sebagaimana dalam firman-Nya:
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ
Bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
(Surah Al-Baqarah: 120)
4. Belum selesai Perang Dunia Pertama, satu perjanjian rahsia telah dibuat (Perjanjian Sykes-Picot 1916) oleh Sir Mark Sykes dan Picot Georges mewakili British dan Perancis bagi memfaraidkan wilayah-wilayah Islam di mana Syria, Lubnan dan Cilicia (kini sebahagian daripada Turki) diletakkan di bawah kawalan Perancis, manakala sekitar Teluk Parsi, Jordan dan Palestin di bawah kawalan British.
5. Setahun kemudian, pada 2 November 1917, tercetusnya Deklarasi Balfour iaitu suatu penyataan rasmi antara Menteri Luar British, James Arthur Balfour dengan Lord Rothschild, pemimpin gerakan Zionis melalui kiriman surat yang ditulis oleh Balfour kepada Lord Rothschild. Surat ini memberi gambaran kepada kita bahawa sokongan British terhadap penubuhan Israel dan membuka pintu seluasnya kepada bangsa Yahudi untuk berhijrah ke bumi Palestin. Pada 24 Julai 1922, British telah diberi mandat dan pengisytiharan telah dibuat oleh The League of Nation bahawa rakyat Palestin tidak diiktiraf sebagai rakyat tetapi sebagai komuniti bukan-Yahudi serta diberi kuasa kepada bangsa Yahudi dalam pentadbiran di Palestin.
6. Implikasinya, pada 14 Mei 1948 negara haram Israel ditubuhkan dan secara rasminya diisytiharkan pada 15 Mei 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersekutu (United Nations Organization). Penubuhan ini turut dikenali sebagai Hari Nakbah (Hari Malapetaka Palestin). Deklarasi Balfour merupakan 'long-term planning' (pelan jangka masa panjang) yang mengambil masa 30 tahun bagi membina negara Israel secara rasmi.
7. Lebih menyedihkan lagi, bilamana berlaku Pemberontakan Arab 1916 yang diketuai oleh Sharif Hussein, Raja Wilayah Hijjaz terhadap kerajaan Khilafah Uthmaniyyah semasa era kemerosotan. Ketika itu, British mengambil ruang dan peluang meniupkan perpecahan sesama umat Islam ini dengan menjanjikan khilafah berpusat di Arab sehingga jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Malangnya, setelah berlaku episod gerakan penggulingan, Raja Abdul Aziz Ibnu Saud diangkat menjadi pemerintah baru, Sharif Hussein dan anak-anaknya dihalau dari Arab Saudi.
8. Mulianya Islam kerana asas mulia iaitu aqidah. Bukan kepentingan peribadi seperti jawatan, harta, pangkat dan sebagainya sehingga sanggup menggadaikan maruah Islam itu sendiri. Allah s.w.t Taala berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ
(Surah Ali-Imran: 118)
Menurut Imam Ibnu Kathir, kalimah من دونكم (bukan dari kalangan kamu) bermaksud orang-orang bukan Islam.
Menurut Syeikh Said Hawa dalam Al- Asas di at-Tafsir menyebut: "Orang-orang seperti mereka hendaklah kita berhati-hati. Maka, janganlah kita mendedahkan rahsia kita kepada mereka, mendedahkan keburukan kita (masalah dalaman), menceritakan perancangan-perancangan kita, mesyuarat dengan masalah-masalah kita..".
9. Konflik yang berlaku ke atas bumi Palestin dan penindasan umat Islam di seluruh dunia seolah-olah tiada kesudahan dan tiada hujung pangkalnya. Justeru, umat Islam seharusnya cakna dan bersungguh-sungguh mengerahkan segala usaha serta ruang-ruang yang dapat membantu mengembalikan maruah dan hak milik umat Islam kembali. Usaha ini tidak dapat dicapai melainkan umat Islam bersatu dalam meningkatkan bantuan yang berterusan kepada mangsa dan memberi tekanan terhadap negara haram Israel.
2 November 2019 bersamaan 4 Rabi'ulawal 1441
Rujukan:
1. Tafsir Al-Quran Pimpinan Ar-Rahman
2. Tafsir Al-Quran, Ibnu Kathir
3. Al-Asas fi At-Tafsir, Syeikh Said Hawwa
4. Perang Dunia Pertama, Deklarasi Balfour dan Kesannya Terhadap Palestin (Ermy Aziati Rozaly dan Azmul Fahimi Kamaruzaman)
5. Penglibatan Liga Arab dalam Konflik Palestin-Israel (Mohd Roslan Mohd Nor)
6. https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-politik/iktibar-arab-spring-politik-matang-dan-sejahtera-119140%3famp=1
7. https://www.history.com/this-day-in-history/britain-and-france-conclude-sykes-picot-agreement
"MELANGKAH BERSAMA ISLAM"
MUHAMMAD SYAHMI BIN MOKTAR
TIMBALAN PRESIDEN 1
KELAB AL-AZHAR MEMBERS KUIS
0 pandangan:
Post a Comment