Al-Azhar Members (ALAM) melangkah setapak lagi ke hadapan dengan penganjuran Muktamar Tahunan kali pertama yang berlangsung semalam. Muktamar yang bertemakan “Sejahtera Bersama ALAM” itu berlangsung dalam suasana yang cukup meriah walaupun dalam keadaan persiapan yang sederhana. Hampir 200 orang muktamirin memenuhi Auditorium KUIS sebaik sahaja selesai solat fardhu Isyak dengan penuh penantian dan harapan.
Bagi seluruh pimpinan al-Azhar Members (ALAM), muktamar tersebut menjadi medan untuk bermuhasabah dan menilai segala apa yang telah dilakukan serta menganalisis pencapaian dengan tujuan untuk menambah kesungguhan bekerja dan berjuang sehingga cita-cita, visi dan misi ALAM tercapai dan terlaksana.
ALAM yang menjadi peneraju dakwah kampus meneguhkan azam dan iltizam serta berkeyakinan bahawa hanya ada satu jalan penyelesaian yang dapat menyelamatkan mahasiswa KUIS daripada belenggu kejahilan moden dan memimpin mereka yang sedang dalam kebingungan dan membimbing ke jalan yang sebenar iaitulah Islam yang syumul. Bertepatan dengan moto “Islam Memimpin Mahasiswa”, ALAM akan terus berusaha untuk merealisasikan matlamat ini dalam meninggikan Islam di Bumi KUIS dan menjadi satu amanah yang besar bagi seluruh pendokong-pendokong ALAM untuk terus istiqamah dan meningkatkan daya juang dalam perjuangan ini. Penganjuran muktamar ALAM yang berlangsung semalam menjadi medan terbaik bagi seluruh pendokong ALAM untuk bermuhasabah bagi merealisasikan segala cita-citanya.
Muktamar tersebut dirasmikan oleh Ust. Mahmud Lutfi B. Abd Hadi, Imam 1 Masjid Al-Azhar KUIS yang mewakili Ust. Mohd Farid Ravi B. Abdullah, Nazir Masjid Al-Azhar KUIS merangkap penasihat ALAM. Kumuncak bagi muktamar yang pertama ini ialah pembubaran pimpinan ALAM sesi 07/08 yang diumumkan oleh Presiden ALAM sesi 07/08, al-akh Azihal b. Bangsawan disusuli dengan pengumuman pimpinan baru sesi 08/09. Muktamar tersebut diteruskan dengan ucapan penangguhan Presiden ALAM yang baru sesi 08/09 dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Setiausaha Agung.
Bagi seluruh pendokong ALAM, penganjuran muktamar tersebut merupakan cacatan sejarah yang amat penting kerana buat pertama kalinya ALAM berjaya menganjurkan muktamar yang amat bermakna ini. Semoga pendokong-pendokong ALAM dapat bekerja, beramal dan berjuang dengan lebih cemerlang dan bersungguh-sungguh bermula saat ini dan yakinlah bahawa segala usaha yang kalian lakukan ini adalah semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah swt. Mudah-mudahan syurga menjadi tempat istirehat kalian selepas ujian dan cabaran yang kalian lalui dalam perjuangan ini. Takbir!!!
--------------------------------------------------------------
Friday, 6 February 2009
Muktamar ALAM Kali Pertama : “Sejahtera Bersama ALAM”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 pandangan:
Post a Comment