Mungkin belum terlewat untuk ana ucapkan selamat datang, ahlan wasahlan wamarhaban bikum untuk semua pelajar-pelajar semester baru ke bumi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor KUIS. Sehingga pagi tadi (12 Mei)ana difahamkan oleh pengarah program minggu ta'aruf bahawa bilangan pelajar-pelajar baru yang mendaftar diri adalah seramai lebih kurang 1000 orang. Bilangan pelajar yang mendaftar tidaklah penting bagi ana walaupun hakikatnya ana lebih selesa dengan bilangan yang sedikit kerana secara jujurnya KUIS belum bersedia untuk menerima pelajar yang terlalu ramai atas banyak faktor.
Persoalan yang lebih penting ialah apakah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pihak pentadbiran KUIS khususnya dan persatuan-persatuan mahasiswa umumnya untuk meletakkan KUIS ditahap yang gemilang dan mendapat keredhaan ALLAH SWT. Hari ini kita dapat melihat bagaimana mahasiswa yang hidup dalam iklim kampus semakin hari semakin hilang jati diri sebagai seorang muslim sejati dan kehidupan mereka semakin jauh daripada panduan al-Quran.
Bertitik tolak dari situlah, Al-Azhar Members (ALAM) mengambil tanggungjawab sebagai satu amanah dari Allah SWT untuk terus beristiqamah menyampaikan mesej Islam kepada seluruh warga KUIS sehinggalah Islam berada di tempat yang selayaknya.
ALAM yang menjadi peneraju dakwah kampus meneguhkan azam dan iltizam serta berkeyakinan bahawa hanya ada satu jalan penyelesaian yang dapat menyelamatkan mahasiswa KUIS daripada belenggu kejahilan moden dan memimpin mereka yang sedang dalam kebingungan dan membimbing ke jalan yang sebenar iaitulah Islam yang syumul. Bertepatan dengan moto “Islam Memimpin Mahasiswa”, ALAM akan terus berusaha untuk merealisasikan matlamat ini dalam meninggikan Islam di Bumi KUIS dan menjadi satu amanah yang besar bagi seluruh pendokong-pendokong ALAM untuk terus istiqamah dan meningkatkan daya juang dalam perjuangan ini.
Akhir kata dari ana, ana menyeru kepada seluruh persatuan-persatuan di KUIS khususnya daripada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) untuk bersama-sama berganding bahu menyampaikan mesej Islam kepada semua. Al-Azhar Members (ALAM) sedia bekerjasama dengan mana-mana persatuan yang mempunyai cita-cita yang sama iaitulah untuk meninggikan Islam di bumi KUIS dan mendapat keredhaan Allah SWT.
Fahmi Iberahim
http://bumihijau89.blogspot.com/2009/05/selamat-kembali-ke-kuis.html
0 pandangan:
Post a Comment