i Guru Muslim Diarah Buka Tudung: Perlukan Penjelasan Berhikmah, Bukan Sentimen Perkauman ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Saturday, 18 January 2014

Guru Muslim Diarah Buka Tudung: Perlukan Penjelasan Berhikmah, Bukan Sentimen Perkauman


KENYATAAN RASMI
[ Guru Muslim Diarah Buka Tudung; Perlukan Penjelasan Berhikmah,Bukan Sentimen Perkauman ]

Oleh: Siti Sumaiyah binti Mohamed

Dalam suasana masyarakat majmuk di Malaysia yang bebas mengamalkan agama, adat dan budaya masing-masing seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan, seorang guru Muslim dipaksa untuk membuka tudung jika mahu mengajar. Guru berkenaan yang bertugas di SJKC Nan Ya Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor, diarahkan untuk menanggalkan tudung jika mahu mengajar di sekolah tersebut. Malah, turut diancam keselamatannya jika enggan berbuat demikian.

Pihak NISA' Kelab Al-Azhar Members KUIS (NISA') melahirkan rasa dukacita atas perkara yang berlaku terhadap guru wanita tersebut. Pemakaian tudung bukanlah satu budaya semasa mahupun termaktub di dalam undang-undang yang khusus. Namun, bertudung merupakan salah satu cara bagi seorang Muslimah untuk menutup aurat seperti mana termaktub dalam syariat dari Allah. Setiap Muslim dan Mukmin sama ada lelaki mahupun wanita, wajib memelihara aurat sepertimana digariskan oleh syarak.

Justeru itu, NISA' menyatakan sokongan penuh kepada guru wanita berkenaan dalam tindakannya mempertahankan hak seorang Muslim dan dalam masa yang sama, hak seorang warganegara Malaysia. Tahniah dan syabas diucapkan kerana telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. Ini membuktikan keberaniannya dalam mempertahankan kesucian syariat Islam apatah lagi keselamatannya turut diancam.

NISA' turut menegaskan bahawa kejadian yang berlaku ini perlu dijelaskan secara berhikmah oleh pihak-pihak yang terlibat. Sebarang kenyataan dan provokasi yang bersifat perkauman perlu dielakkan agar keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terjamin. Marilah kita bersama-sama menghormati hak setiap warganegara yang bebas mengamalkan agama, budaya dan adat masing-masing.

Kami dari Kelab Al-Azhar Members, khususnya NISA' mendoakan guru wanita berkenaan terus tabah dan kuat menghadapi dugaan ini. Percaya dan yakinlah bahawa rezeki yang datang adalah dari Allah S.W.T buat mereka yang tetap dalam mengamalkan syariat Allah. Dengan mengambil peristiwa ini sebagai pengalaman dan iktibar, diharapkan agar guru-guru di seluruh Malaysia terus komited dengan tugas mulia dalam mendidik anak bangsa.
Kepada bakal-bakal guru yang akan memasuki dunia pendidikan, pihak kami memberikan sokongan sepenuhnya dalam memastikan perjalanan dan perancangan pendidikan buat anak bangsa dapat dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan keadilan.

"Inspirasi Mahasiswa Islam".

Nota: Penulis ialah Pengerusi Nisa' Al-Azhar Members KUIS sesi 2013/14.

0 pandangan: