1. Kelab Al-Azhar Members KUIS (ALAM KUIS) mengucapkan takziah kepada semua umat Islam atas pemergian seorang lagi tokoh ulama yang begitu teguh pada prinsip perjuangan semasa hayat beliau. Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Harun Taib, seorang ulama yang disanjungi, berasal dari negeri Terengganu ini, telah menghembuskan nafas terakhir ketika masih memikul amanah besar dalam perjuangan sebuah gerakan Islam sebagai Ketua Dewan Ulama Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
2. Allahyarham Tuan Guru Harun Taib adalah seorang ulama gerakan Islam yang sentiasa komited sepanjang usianya sejak muda lagi dalam melahirkan jutaan pelapis perjuangan diseluruh pelusuk tanah air. Beliau juga sangat dikenali dengan seorang yang amat menyayangi agenda menegakkan Syariat Allah di muka bumi ini. Itulah cita yang sentiasa meniti bibir Allahyarham tiap kali menitipkan percakapan. Pemergian dan kehilangan Ulama dari dunia ini merupakan sebuah bencana buat umat. Sesungguhnya Allah mengangkat ilmu-Nya dengan menghilangkan ulama dari bumi ini.
3. Rakan mahasiswa anak muda sekalian, ayuh bersama kita mengambil pengajaran yang Allah telah tunjukkan di hadapan mata kita untuk sama-sama meletakkan jasad dan roh kita di landasan perjuangan Islam di muka bumi ini. Ayuh kita menanam tekad dan doa moga Allah swt anugerahi kita helaan nafas dalam denyutan perjuangan.
4. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang Syahid di jalan Allah swt dan diredhai-Nya. Amin.
Inna lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un. Al-Fatihah buat Allahyarham Tuan Guru.
Akram Ikrami bin Taib Azamudden,
Presiden Kelab Al-Azhar Members KUIS.
25 Januari 2014 / 23 Rabiulawal 1435H
0 pandangan:
Post a Comment