Risalah (2)
AMALAN-AMALAN DI BULAN RAMADHAN
الحمد لله رب
العلمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء
والمرسلين،
نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد:
(شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ
وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَان)
Maksudnya:
“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai
petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan
pembeza (di antara yang hak dan yang batil). [Al-Baqarah: 185]
Risalah
ini sebagai satu tazkirah tentang beberapa kelebihan bulan Ramadan serta apakah
amalan yang sepatutnya diisi sepanjang bulan mulia ini.
Semoga
ia menjadi panduan dan pembangkit semangat untuk beramal dengan sebaik-baiknya.
Allah telah menjadikan bulan Ramadan sebagai satu bulan yang mulia berbanding
bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya
ialah:
· Bau mulut orang yang
berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah.
· Para malaikat memohon
keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
· Syurga dihias setiap hari
pada bulan Ramadan.
· Syaitan-syaitan dibelenggu
sepanjang bulan Ramadan.
· Pintu-pintu syurga dibuka
dan pintu-pintu neraka ditutup.
· Terdapat pada bulan ini
Laialatul Qadar yang mana ia lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang
tidak mengambil peluang untuk membuat kebaikan dan beramal padanya maka dia
telah melepaskan semua peluang kebaikan.
· Orang-orang yang berpuasa
akan mendapat keampunan pada malam terakhir daripada bulan Ramadan.
· Pada setiap malam Ramadan
tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka.
Di antara amalan yang
wajib dan amalan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadan
ialah;
1)
Berpuasa:
Sabda Rasulullah
(كل عمل ابن آدم يُضَاعَفُ، الحسنة عشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف،
قال الله
عزاوجل: إلا الصوم،
فإنه لي وأنا أجزي به، يدع شهوته وطعامه من أجلي. للصائم
فرحتان: فرحة عند
فطره، وفرحة عند لقاء ربه. ولخلوف فيه أطيب عند الله
من ريح المسك) [
مسلم:
Maksudnya: “Setiap amalan
anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700
kali ganda. Allah berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia
adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberi ganjarannya. Dia meninggalkan
syahwatnya, makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua
kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika hendak
bertemu Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lenih harum daripada
bau kasturi di sisi Allah.” [HR: Muslim dan Abu Hurairah 1151]
Sabda Rasulullah :
(من صام رمضان إيمانا واحتسابا، غفرله ما تقدم من ذنبه) [منتق
عليه]
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan
dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya
dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim]
Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan
jasmani dan rohani. Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan
nafsu liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran, kesusahan dan
sebagainya.
2)
Ramadan dan membaca al-Quran:
Nabi
S.A.W menceritakan bahawa Jibril membacakannya al-Quran setiap tahun sekali
pada bulan Ramadan dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak 2 kali. [HR:
Al-Bukhari dan Muslim].
Para
ulama’ bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan.
Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 malam, sebahagian
setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh 10 hari sekali. Mereka
membacanya ketika di dalam solat dan juga di luar solat.
Imam asy-Syafie akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan
Ramadan dan beliau membacanya di luar solat.
Ibnu Rajab berkata: “Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari
ialah bagi mereka yang menjadikannya sebagai satu amalan biasa yang berterusan.
Adapun pada waktu-waktu yang terdapat keutamaan seperti pada bulan Ramadan,
khususnya pada malam-malam yang dijangkakan Lailatul Qadar ataupun ketika
berada di tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti di Makkah bagi
orang-orang luar yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan membaca
al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat”.
3)
Qiamullail
Bagi seseorang mu’min apabila berada pada bulan Ramadan akan berhadapan
dengan dua jihad di dalam dirinya. Pertama jihad di siang hari berpuasa dan
kedua jihad pada malam hari dengan Qiamullail. Sesiapa yang berjaya melakukan
dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka
ganjarannya amat besar tidak terhingga.
Sabda Rasulullah:
(من قام رمضان إيمانا واحتسابا، غفرله ما تقدم من ذنبه) [منتق
عليه]
Maksudnya: “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan
ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”.
[HR: Al-Bukhari dan Muslim].
Firman Allah:
وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ
يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا
سَلَامًا﴿﴾
وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا
وَقِيَامًا﴿﴾
Maksudnya: “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha
Penyayang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah
diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan
kata-kata yang baik. Dan orang-orang yang menghabiskan malam dengan bersujud
dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka...”.
[Al-Furqan: 63-64]
Qiamullail adalah kebiasaan Nabi dan para sahabat
yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. ‘Aisyah pernah berkata:
“Jangan kamu tinggalkan
Qiamullail. Rasulullah tidak pernah meninggalkannya, dan apabila Baginda sakit
atau kepenatan, Baginda solat sambil duduk.” [HR: Abu Daud].
Khalifah Umar bin al-Khattab akan bersolat malam
seberapa banyak, apabila sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli
keluarganya untuk bersolat, sambil berkata:
“Solah, solah!” (bangun
untuk bersolat).
Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah
menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis di kalangan
orang-orang yang Qiyam (orang yang berdiri solat).
Abi Zar meriwayatkan Nabi
bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam,
dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada
Baginda: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat
sunat”. Maka Nabi bersabda:
(إنه
من قام مع الإمام حتى ينصرف، كتب له قيام ليلة) [الترمذي،صحيح]
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri bersama imam
sehingga dia (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam
semalaman.” [HR: At-Tirmizi,sahih].
4)
Bersedekah
عن ابن عباس قال: (كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود
الناس، وكان أجود ما يكون
في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان
فيدارسه
القرآن. فالرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من
الريح المرسلة) [البخاري]
Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah adalah manusia yang
sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan... dan
Baginda lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.” [HR:
Al-Bukhari]
Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut
kemampuan masing-masing.
Sabda Nabi:
(اتقوا النار ولو بشق تمرة) [البخاري]
Maksudnya: “Takutilah api neraka walaupun dengan
(bersedekah) sebelah tamar’. [HR: Al-Bukhari]
Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika seseorang
bertambah pemurah pada bulan Ramadan kerana ia mengikuti jejak langkah
Rasulullah, kerana ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan
mereka. Ini kerana manusia sibuk dengan puasa dan solat (ibadat) berbanding
pekerjaan masing-masing”.
Rasulullah telah ditanya, apakah sedekah yang paling
afdhal? Sabdanya:
(صدقة
في رمضان) [الترمذي، ضعفه الألباني]
Maksudnya: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah dalam
bulan Ramadan”. [HR: At-Tirmizi daif], ia mempunyai banyak cara dan cabangnya:
a.
Memberi makan:
Para ulama’ salaf sangat menitikberatkan amalan memberi
makan dan mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain.
Ia sama ada dengan memberi makan orang yang kelaparan
ataupun kawan-kawan yang soleh dan tidak disyaratkan hanya kepada orang fakir.
Rasulullah bersabda:
(إن في الجنة غرفا ترى ظهورها من بطونها، وبطونها من ظهورها). فقام
أعرابي فقال: لمن هي يا رسول الله؟ قال: (لمن أطاب الكلام، وأطعم الطعام،
وأدام
الصيام، وصلى الله بالليل والناس نيام) [الترمذي حسنه الألباني]
Maksudnya: “Di dalam syurga terdapat bilik-bilik, nampak
dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya”. Bangun seorang a’rabi
(orang kampung) bertanya; Untuk siapakah bilik-bilik itu wahai Rasulullah?
Sabda Nabi “Bagi mereka yang baik
percakapannya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah pada
waktu malam tatkala orang lain sedang tidur”. [HR: At-Tirmizi, hasan].
Al-Hasan al-Basri dan Ibnu al Mubarak memberi makan para
sahabatnya, sedangkan mereka sendiri berpuasa. Mereka duduk melayani dan
berkhidmat kepada orang yang makan serta memenuhi keperluan mereka.
Hammad bin Sulaiman akan menghidangkan juadah berbuka puasa
untuk 500 orang ketika Ramadan dan dia akan memberikan kepada setiap mereka 100
dirham di Hari Raya.
Ibadat memberi makan akan menjadi asas kepada banyak
ibadat-ibadat lain, seperi rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi
makan, dan ini akan menjadi salah satu sebab untuk masuk syurga, kerana sabda
Rasulullah yang bermaksud: “Tidak masuk syurga seseorang itu sehingga ia
beriman, dan tidak beriman sehingga ia saling mengasihi”. [HR: Al-Bukhari].
b.
Memberi makan (berbuka) oarang yang berpuasa:
Sabda Rasulullah
(من فطر صائما،
كان له مثل أجره، غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا) [الترمذي، صحيح]
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan orang yang
berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ia tidak akan mengurangkan
pahala orang yang berpuasa sedikit pun”. [HR: At-Tirmizi, sahih]
Sabda Rasulullah
(أيها الناس
أفشوا السلام، وأطعموا الطعام، وصلوا والناس نيام،
تدخلوا الجنة بسلام) [أحمد والترمذي، صحيح]
Maksudnya: “Wahai Manusia! Sebarlah salam, berilah
orang makan dan solatlah malam ketika manusia tidur, pasti kamu akan masuk ke
Syurga dengan sejahtera”. [HR: Ahmad, at-Tirmizi, sahih].
Semua ini menunjukkan bahawa mengumpulkan antara
puasa dah sedekah adalah lebih berkesan untuk menghapuskan dosa.
Nabi bersabda:
(الصوم جنة،
والصدقة تطفئ الخطيئة، كما يطفئ الماء النار، وصلاة
الرجل من جوف الليل) [الترمذي وابن ماجه، صحيح]
Maksudnya: “Puasa adalah perisai. Sedekah akan
memadamkan kesalahan seperi air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki
yang bangun di pertengahan malam”. [HR: Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah,
sahih].
5)
Menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat
dusta.
Sabda Rasulullah
(من لم يدع قول الزوز والعمل به، فليس لله حاجة
في أن يدع طعامه وشرابه) [البخاري]
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan
dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan
makanan dan minumannya (yakni berpuasa)”. [HR: Al-Bukhari]
Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud
menahan diri daripada pembohongan dan kata-kata yang sia-sia dan tidak
berfaedah sebagaimana seseorang itu menahan diri daripada makan dan minum.
Sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka berkuranglah
pahalanya dan dia terdedah kepada kemurkaan Tuahnnya.
Sabda Rasulullah
(إذا أصبح أحدكم يوما صائما، فلا يرفث، ولا يجهل، فإن امرؤ شاتمه،
أو قاتله
فليقل: إني صائم! إني صائم!)[مسلم]
Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa
maka janganlah dia melakukan Rafath (melakukan perkara-perkara yang
membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci
atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa”. [HR:
Muslim]
Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya puasa bukanlah
hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga dari penipuan,
kebatilan dan perkara yang sia-sia”.
Berkata Mujahid: “Dua perkara yang sesiapa
meninggalkannya maka sempurnalah puasanya: Ghibah (mengumpat) dan menipu”. Abu
al-‘Aliah pula berkata: “Orang yang berpuasa tetap ibadatnya selagi dia tidak
melakukan Ghibah”.
Rahsia di sebalik larangan-larangan ini khususnya ketika
sedang berpuasa ialah kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kerana Allah
dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan sempurna kecuali
setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram. Ia adalah seumpama orang yang
meninggalkan perkara-perkara fardu untuk melakukan perkara-perkara sunat,
apakah faedahnya?
6)
Doa, Zikir dan Istighfar
Semua hari-hari Ramadan adalah waktu yang mulia, maka
ambillah kesempatan ini dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada
waktu-waktu yang mustajab seperti:
·
Ketika hampir waktu berbuka. Nabi menyebutkan tiga doa
yang tidak ditolak antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
[HR: At-Tirmizi, sahih]
·
Di sepertiga malam ketika Allah menyeru:
“Adakah ada orang yang berdoa, maka aku perkenankan,
adakah orang yang memohon keampunan, maka Aku mengampunkannya”. [HR:
Al-Bukhari& Muslim].
·
Memohon keampunan Allah S.W.T. ketika waktu sahur. Firman
Allah:
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ﴿﴾
Maksudnya: “Dan ketika waktu sahur mereka memohon
keampunan”. [Az-Zariyat: 18]
Jangan kita lupa juga terdapat ganjaran-ganjaran yang
besar bagi orang yang berzikir. Terdapat banyak nas-nas al-Quran dan
hadis-hadis Nabi yang sahih menjelaskan.
7)
Umrah pada bulan Ramadan
Sabda Rasulullah
(فإن عمرة في رمضان تقضي حجة، أو حجة معي) [البخاري ومسلم]
Maksudnya: “Satu umrah pada bulan Ramadan ganjarannya
menyamai satu haji. Dalam riwayat yang lain; “Menyamai satu haji bersamaku”.
[HR: Al-Bukhari dan Muslim].
8)
Beriktikaf
Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadan ini,
ialah digalakkan beriktikaf padanya.
9)
Lailatul Qadar
Di dalam Ramadan yang berkat ini Allah menghadiahkan
kepada hamba-hambanya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadr.
[Dua kelebihan ini (8 & 9) akan dijelaskan dalam
risalah yang kedua insyallah]
Penutup:
Sabda Rasulullah sewaktu menaiki mimbar di Madinah:
(رغم أنف عبد دخل عليه رمضان فلم يغفرله) [صحيح ابن خزيمة، السنن
الكبرى للبيهقي]
Maksudnya: “Sangat malang, orang yang berkesempatan
melalui Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya”. [HR: Ibnu Khuzaimah,
al-Baihaqi]
Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang muslim yang
berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan
keluarganya. Ia hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan
berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi
merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya.
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya
diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadan kali ini lebih baik
daripada yang lepas, dituliskan nama kita di antara hamba-hamba-Nya yang mendapat
keampunan Tuhan dan selamat dari azab Neraka. Aamin.
0 pandangan:
Post a Comment