Risalah (1)
HUKUM SEMASA BERKAITAN PUASA
الحمد لله رب
العلمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء
والمرسلين،
نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد:
Allah swt telah memfardukan puasa Ramadan ke atas
umatnya, Allah juga telah mensyariatkan puasa-puasa sunat lain selain daripada
fardu ini, serta menjanjikan ganjaran yang besar, yang menjadi idaman bagi
setiap orang yang beriman. Sabda Rasulullah saw:
(من صام يوما في سبيل الله، بعَّد الله
وجهه عن النار سبعين خريفا)
“Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah,
nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sejauh tujuh puluh
tahun.” [Muttafaq alaih].
Allah telah meletakkan garis panduan dalam melakukan
puasa dan sekali-kali tidak membenarkannya untuk dilanggar. Maka menjadi
kewajipan bagi setiap muslim mengetahui dan mempelajarinya untuk menjaga ibadat
yang besar ini. Catatan ini bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara yang
membatalkan puasa menurut kajian ulama’ semasa.
Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan
perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim menjaga puasa dari perkara
yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya, oleh itu perbincangan tentang
perkara ini adalah perlu untuk menjaga puasa dari terbatal, dan membatalkan
puasa dengan perkara yang sebenarnya tidak membatalkannya akan menyempitkan
ruang yang telah diperluaskan oleh Allah swt. Ayat 15 dari Surah Al-Baqarah
adalah salah satu ayat yang telah disebut oleh Allah tentang keringanan
syariat-Nya:
(يريد الله بكم اليسر، ولا يريد بكم العسر)
“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak
menghendaki kesukaran bagimu.”
RUKUN PUASA
Rukun puasa ada dua,
iaitu:
1)
Berniat pada malam harinya.
Sabda Nabi saw:
(مَن لم يُجمِع الصَّيَام قَبلَ الفَجرٍ فلا صيام له)
رواه أبو داود، "صحيح"
وعند النسائي: (مَن لم يبيت الصيام من الليل فلا صيام من
الليل فلا صيام له)
صحيح سنن النسائى
Maksudnya: “Sesiapa yang
tidak berazam (berniat) pada waktu malam maka tidak ada puasa (fardu) baginya.
2)
Imsak,
menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar
hingga terbenam matahari
Antara perkara yang
diberikan fokus mendalam di waktu ramadan adalah:-
1)
Mencapai Taqwa:
Firman
Allah yang mengarahkan berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan
berkenaan kaedah cara, dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target
perlu diberikan perhatian lebih.
2)
Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran
Firman
Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadan ini sebagai
petunjuk, bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil.
Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran
sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan
selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3)
Amaran Terhadap Penghilang Pahala Ramadan Yang Pasti:
Sabda-sabda
Nabi saw berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadan
seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu
bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana adalah perkara yang disepakati bakal
merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir
puasanya.
4)
Kaedah Penambah Pahala & Reda Allah di Bulan Ramadan
Yang
pasti: Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan
ini perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke
Syurga Allah sekali gus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang
sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Seseorang
yang berpuasa hendaklah menjaga diri dari melakukan perkara yang merosakkan
puasa, demi menjaga kehormatan ibadat yang mulia ini. Antaranya ialah:
1-
Menahan nafsu syahwat
2-
Menanggung lapar dan dahaga
3-
Menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari.
Semuanya dilakukan dengan
niat ikhlas ibadat keran Allah.
Inilah yang dijelaskan
dari al-Quran dan as-sunah.
Demikian
juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa
anggota demi kerana Allah, Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah: 187 dan
disokong oleh hadis-hadis yang banyak.
PERKARA ASAS YANG
MEMBATALKAN PUASA IALAH:
Sebagaimana yang disepakati (Ittifaq) ulama’
berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma’ ialah empat perkara;
1)
Makan,
2)
Minum,
3)
Jima’,
Dalilnya
ialah firman Allah swt yang bermaksud: ‘...Maka sekarang campurilah mereka
(isteri kamu) dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan
minumlah hingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar.
Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam...” [Al-Baqarah:187].
4)
Haid dan Nifas.
Dalilnya
hadis Abu Said al-Khudri yang bermaksud: Sabda Rasulullah saw: “Bukankah
perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa...”.
[Bukhari- 304, Muslim:79].
Antara perkara yang
membatalkan puasa lagi (menurut mazhab asy-syafie) ialah:
5)
Sampai sesuatu (ain) ke dalam rongga (al-jauf) melalui
liang yang terbuka.
Maksud ‘am ialah sesuatu
yang dapat dilihat oleh mata.
Maksud al-Jauf ialah otak
ataupun apa yang berada di antara bawah halkum hingga ke perut.
Maksud
liang terbuka ialah; mulut, telinga, qubul, dubur, sama ada lelaki atau
perempuan.
Oleh itu
setitik air yang masuk melalui telinga membatalkan puasa kerana ia adalah liang
yang terbuka. Tetapi setitik air yang masuk ke dalam mata TIDAK membatalkan
puasa kerana ia adalah liang yang tidak terbuka.
Suntikan
di lubang dubur membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Suntikan
pada urat TIDAK membatalkan puasa kerana urat adalah liang yang tidak terbuka.
Begitulah seterusnya.
Semuanya
ini disyaratkan dilakukan dengan sengaja, qiyas kepada makan dan minum.
Sekiranya
lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK
batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (musyaqqah).
Begitu juga dengan menelan air liur. Tetapi jika menelan air liur bernajis
seperti gusi yang luka, walaupun air liur itu jernih dan dia tidak membersihkan
mulutnya, maka puasanya batal.
Sekiranya
dia berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung dan air itu termasuk ke dalam
jauf-nya maka ia tidak batal, kecuali ia melampau.
Sekiranya
terdapat sisa makanan di celah-celah giginya lalu ia digerakkan oleh air
liurnya tanpa sengaja lalu masuk ke dalam perutnya, maka puasanya TIDAK batal.
6)
Muntah dengan sengaja.
Muntah
yang disengajakan membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada
apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi,
puasa tidak batal sekiranya tiada upaya menahan muntahnya.
7)
Mengeluarkan mani.
Air mani
keluar sama ada dengan perbuatan berkucup dan seumpamanya atau dengan tangan
(onani). Apabila seseorang berbuat demikian dengan sengaja puasanya batal. Jika
tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya keluar puasanya tidak batal.
8)
Gila dan Murtad (wal’iyazubillah)
Kedua-dua
perkara tersebut juga menghalang daripada puasa. Ini kerana orang yang berpuasa
dalam keadaan itu telah terkeluar daripada kelayakan beribadat. [Lihat- Al-Fiqh
al-Manhaji].
Untuk mengetahui fatwa
semasa mengenai perkara ini. Di bawah ini dikemukakan Keputusan Persidangan
Fiqh Antarabangsa (al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami) [No. 93(1/10) pada 23-28 Safar
tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] Mengenai Perkara-perkara Yang
Tidak Membatalkan Puasa.
A-
Keputusannya (Qarar) Seperti Berikut:
1-
Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga. Ubat
titis hidung atau semburan hidung, dengan syarat tidak menelan apa yang sampai
ke halkum.
2-
Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit
Angina (Jantung) dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
3-
Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan,
membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina
(sebelum bersalin).
4-
Memasukkan teropong ke dalam salur peranakan/rahim atau
alat ke dalamnya. (Contoh: alat pencegah kehamilan – IUCD)
5-
Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau
perempuan untuk penyediaan x-ray atau lainnya.
6-
Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi menggunakan
alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut
dari prosedur tersebut.
7-
Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan
syarat tiada bahan masuk ke dalam perut dengan syarat tidak menelan apa yang
sampai ke halkum.
8-
Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah,
KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti: glukos yang
mengenyangkan).
9-
Oksigen dan Gas Bius.
10-
Bius menggunakan gas, bukan menggunakan cecair yang
mengenyangkan.
11-
Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan
melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
12-
Sesalur dan bahan perantara untuk artehografi
(pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
13-
Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari
punya penyakit.
14-
Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain untuk ujian
makmal.
15-
Teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa
cecair atau bahan seumpamanya.
16-
Memasukkan ubat atau alat ke dalam otak.
17-
Muntah secara tidak sengaja.
B-
Jika tidak memberi mudarat, para doktor muslim hendaklah
menasihati pesakit untuk menangguhkan dulu rawatan yang meragui sehingga
selesai puasa.
Tambahan dari Keputusan
“Seminar Fiqh Perubatan ke 9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar
1418/14-17 Jun 1997. Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga
TIDAK MEMBATALKAN PUASA:
1-
Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital
ke dalam dubur.
0 pandangan:
Post a Comment