i Sepinggan Pahala Berulamkan Dosa ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Tuesday, 20 September 2011

Sepinggan Pahala Berulamkan Dosa

MAD'U & DU’AT

Dewasa ini, kesibukan beberapa para du’at (pendakwah) dalam menyajikan bahan dakwah kepada mad'u (orang yang didakwah) dalam alam siber ini menyebabkan sesetengah daripada du’at alpa bahawa mereka juga akan diuji oleh Allah SWT dalam pelbagai bentuk dan dimensi. Antara yang paling sukar untuk ditempuhi ialah ujian dalaman yang melibatkan persoalan sejauhmana rasa “ihsan” dalam diri.




Dakwah di alam dunia ini luasnya tanpa batasan. Namun terkadang, ada pendakwah yang tersesat dalam dunia siber yang penuh dengan lumpur dosa. Akhirnya perjuangan dakwah yang dilakukan terhijab dari mendapat nusrah (pertolongan) Allah SWT. Bak kata pepatah “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Ini bukan sahaja menyukarkan untuk mencapai matlamat dakwah, bahkan pula mengundang kemurkaan Allah SWT. Bagaimanakah mungkin pertolongan Allah dapat diperoleh jika keadaan ini berlaku?


Ketika kita keseorangan dalam melayari internet, semuanya boleh berlaku. Pengaruh
syaitan dan nafsu jangan dipandang remeh. Suntikan syaitan dan desakan nafsu mampu mengegarkan iman walau sebesar gunung-ganang di Everest. Buktinya telah banyak Allah tunjukkan kepada kita.


Mungkin disebabkan kita merasakan terlalu banyak menasihati orang lain menyebabkan kita sudah memandang ringan dosa kita sendiri.
Dosa-dosa kecil kita anggap biasa. Semoga Allah lindungi kita dari perkara buruk tersebut (Na’uzubillahi min zalik). Boleh sahaja Allah hapuskan segala Amal Kubra yang kita buat. Sebelum itu, perlu diingat semula, adakah kita yakin amalan kita pasti diterima atau ditolak oleh Allah SWT? Semuanya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

CCTV AKHIRAT

Tapi kita alpa, lupa, ego dan sombong dengan ilmu dan mengendahkan pengaruh musuh utama kita iaitu syaitan. Merasakan kita sudah berjaya mengatasi pengaruh syaitan dan nafsu. Sedangkan orang mukmin itu mesti merasakan diri berdosa sepanjang masa dan takut serta berharap (khauf dan raja’) kepada Allah setiap masa. Belum lagi kita melihat kepada peringkat iman yang sentiasa berubah-ubah tahapnya. Tiada siapa yang dapat memberikan jaminan tentang iman dirinya.

Akhir kata, sebagai para pendakwah yang bergiat di alam siber, saya ingin menyeru: “
Ingatlah dan awasi diri kita masing-masing kerana CCTV Akhirat telah dirakamkan sejak kita menjejaki alam dunia ini lagi.” Sesungguhnya, Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui dan Maha Pengampun.

Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah, pertolongan dan lindungan kepada kita daripada
fitnah alam siber ini kerana tiada jaminan untuk kita melainkan kita sendiri yang berusaha mewujudkan sifat taqarrub (dekat dengan Allah) dan sifat ihsan (Allah sentiasa observe kita) dalam diri.

Takutlah kamu wahai manusia akan slide show akhirat yang akan menayangkan segala tingkah laku mu samada buruk atau baik. Sanggupkah muka mu itu menanggung malu yang teramat sangat nanti. Renungkanlah…

0 pandangan: