i Peranan Mahasiswa & Mahasiswi Islam ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Sunday, 25 September 2011

Peranan Mahasiswa & Mahasiswi Islam


Mahasiswa dan mahasiswi merupakan aset yang amat bernilai bagi negara. Lebih-lebih lagi mahasiswa dan mahasiswi yang bergelar muslim, peranan kita amatlah besar, bukan sahaja kepada negara, malah kepada ummat Islam secara keseluruhannya. Persoalannya, bagaimana kita mahu mengorak langkah sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang membangun ummah? Apakah yang perlu kita lakukan untuk terus kehadapan dengan membawa cara hidup Islam secara total? Pertama dan terutama, mahasiswa dan mahasiswi  harus sedar apakah tujuan sebenar kita dijemput untuk hidup di dunia ini.

“dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” 
(Az-Dzariyaat:56)

Untuk bergerak sebagai mahasiswa yang membangun ummah, mahasiswa perlu berpegang pada prinsip utama dalam Islam, iaitu aqidah yang jelas dan mantap. Perkara ini perlu dititikberatkan agar aqidah yang dipegang mampu membawa mahasiswa ke tahap intelektual yang lebih tinggi dan memberi manfaat kepada ummah dalam apa jua bidang yang diceburinya.

Dalam mengorak langkah untuk terus kehadapan, mahasiswa dan mahasiswi perlu berjaga-jaga dengan pengaruh aliran-aliran yang boleh merosakkan aqidah. Ini adalah kerana ianya akan menghalang mahasiswa dan mahasiswi untuk mempraktikkan gaya hidup Islam secara total. Bahkan, aliran-aliran ini juga semakin berani untuk meragut aqidah dan pendirian mahasiswa Islam.

Pengaruh aliran-aliran ini merupakan pengkhianatan dan pencabulan yang amat dahsyat kepada umat Islam khususnya jika berlaku ke atas mahasiswa dan mahasiswi Islam. Antara aliran-aliran tersebut adalah sekularisme, liberalisme dan pluralisme serta pelbagai lagi ideologi ciptaan musuh Islam. Fenomena ini juga disebut sebagai "Ghazwatul Fikr" iaitu Perang Pemikiran.


Seterusnya, perlu diingatkan, aqidah yang jelas perlu diiringi dengan akhlak Islamiyah. Ini kerana akhlak Islamiyah merupakan pelengkap kepada ilmu dan aqidah mahasiswa Islam. Fahaman dan budaya hidup sebagai mahasiswa Islam perlu dibina dalam diri setiap masa dan tempat. Jangan kita lupa bahawa tamadun Islam membangun seiring dengan pembangunan aqidah yang mantap, ilmu yang tinggi dan akhlak mulia ummat Islam yang bisa mencuri hati sesiapapun.

Oleh yang demikian itu, mahasiswa Islam perlu mempersiapkan diri dalam apa jua bidang yang diceburi untuk memacu kemajuan ummah. Perkara-perkara yang boleh melalaikan tugas sebagai mahasiswa Islam wajiblah dijauhi dan dihindari agar mahasiswa Islam terus mantap dan berdaya saing diperingkat dunia.

0 pandangan: