Namanya
Syifa' binti Abdullah ibn Abd Syams al-Quraisyiyyah al-Adawiyyah. Ada
pendapat mengatakan nama sebenarnya Laila binti Abdullah. Beliau adalah isteri
kepada Abu Hathmah ibn Huzaifah ibn Ghanim al-Quraisy al-Adawi. Beliau
dikurniakan seorang anak bernama Sulaiman bin Abu Hathmah, seorang lelaki yang
dihormati sebagai orang yang kuat beragama di kalangan ummat Islam.
Kemuliaan
Syifa’
bermaksud sebuah doa dan harapan yang terawal dilakarkan oleh ibu bapa buat
seorang anak.. Beliau adalah seorang sahabiah yang terkenal dengan kebaikan
hatinya dan kepintarannya dan merupakan salah seorang daripada segelintir kaum
hawa Quraisy yang mahir menulis dan membaca. Beliau tergolong di kalangan
sahabat dan sahabiah yang terawal memeluk Islam dan turut berhijrah ke Madinah.
Beliau
turut memiliki kedudukan yang terhormat di sisi Ummahatul Mukminin,
isteri-isteri Rasulullah s.a.w. As-Syifa' sentiasa datang menjenguk Ummul
Mukminin, Hafsah dan mengajarkannya menulis. Rasulullah s.a.w. telah menyuruh
as-Syifa' mengajarkan Hafsah menulis dan cara mengubati penyakit kulit dengan
teknik ruqayyah.
Diriwayatkan oleh Abu Daud, dari Syifa' binti Abdullah bahawa
dia berkata: "Rasulullah s.a.w. datang menjengukku dan aku sedang
bersama Hafsah. Rasulullah berkata kepadaku, "Ajarkanlah Hafsah cara
mengubati penyakit kulit dengan teknik ruqayyah sebagaimana engkau
mengajarkannya menulis." Rasulullah s.a.w.
menghormatinya dan bersaliturahim dengannya. Rasulullah s.a.w. juga telah
memberinya sebuah rumah di Madinah. As-Syifa' telah tinggal di rumah tersebut
bersama anaknya Sulaiman.
Pada zaman
jahiliyyah, Syifa' binti Abdullah mengubati sakit kulit dengan menggunakan
ruqayyah. Setelah memeluk Islam, dia telah datang bertemu Rasulullah untuk
meminta izin agar dapat meneruskan pekerjaannya itu. Ibnu Qayyum berkata bahawa
di zaman jahiliyyah as-Syifa' menggunakan ruqayyah untuk mengubati penyakit
kulit. Ketika turut serta dalam hijrah.
Syifa'
berkata, maksudnya: "Dengan nama Allah, sampai kembali ke asalnya dan
tidak membahayakan seseorang pun. Ya Allah, Tuhan sekalian manusia.
Hilangkanlah penyakit ini."
Ibnu Qayyum
berkata: "Syifa' binti Abdullah membaca ruqayyah tersebut sebanyak tujuh
kali ke atas sebuah dahan gaharu. Kemudian, dia menumbuknya sampai halus pada
tempat yang bersih dengan menggunakan batu yang tajam. Setelah itu, dia akan
menggoreskannya ke atas penyakit kulit tersebut."
Setelah
diizinkan oleh Rasulullah s.a.w. beliau meneruskan pekerjaannya itu.As-syifa'
juga menyertai beberapa peperangan sebagai tentera dan juga pasukan perubatan.
Bersama
Umar al-Khattab
Syifa'
binti Abdullah mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Umar al-Khattab r.a.
sebagaimana mulianya as-Syifa' di sisi Rasulullah s.a.w. Sayyidina Umar selalu
mengutamakan as-Syifa' dalam hal pandangan. Bahkan, beliau turut memberi
kepercayaan kepada as-Syifa' dengan melantiknya sebagai seorang qadhi di pasar.
As-Syifa' adalah Muslimah pertama memegang jawatan itu. Beliau memikul tugas
tersebut dengan penuh amanah dan tegas.
Umar Ibn
Khattab sentiasa datang menjenguk as-Syifa' dan bertanyakan keadaannya, anak
dan suaminya. Umar juga kerap membimbing mereka kepada kebaikan kalau keadaan
memerlukan. Syifa' binti Abdullah berkata: "Umar ibn Khattab datang ke
rumahku. Dia melihat dua orang lelaki tertidur di rumahku (suami dan anak
as-Syifa'). Umar ibn Khattab bertanya: "Ada apa dengan dua orang lelaki
ini sehingga mereka tidak solat berjemaah dengan kami?" Aku menjawab:
"Ya Amirul Mukminin! Mereka berdua solat bersama yang lain – ketika itu
bulan Ramadhan – mereka terus solat berdua sampai datang waktu Subuh. Setelah
mereka solat Subuh, mereka tidur. Umar ibn Khattab berkata: "Solat Subuh
berjemaah bersama yang lain lebih baik bagiku daripada solat sepanjang malam
sampai datang Subuh." Hal ini menunjukkan pemahaman fiqh Umar yang
mendalam dan bimbingan halus daripadanya yang berlandaskan sunnah Rasulullah s.a.w
dan anjuran untuk menghadiri solat jemaah.
As-Syifa'
dan Hadis Rasulullah s.a.w.
As-Syifa'
r.a. juga sempat meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. secara terus dan dari
Umar al-Khattab. Ada yang meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. daripada
as-Syifa' adalah anaknya Sulaiman, kedua cucunya Abu Bakar bin Sulaiman dan
Utsman bin Sulaiman, hamba sahayanya Abu Ishaq dan Hafsah Ummul Mukminin.
Di antara
riwayatnya, bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang sebaik-baik pekerjaan.
Baginda menjawab:
"Beriman kepada Allah, jihad di jalanNya dan haji
yang mabrur."
As-Syifa'
menghabiskan hayatnya untuk menuntut ilmu, beramal, berzuhud dan beribadah
sehingga ajal menjemputnya pada zaman khalifah Umar al-Khattab pada tahun 20H.
0 pandangan:
Post a Comment