i Malam Ukhuwah Perdana : Semarakkan Ukhuwwah Gerakkan Dakwah. ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Friday, 19 June 2009

Malam Ukhuwah Perdana : Semarakkan Ukhuwwah Gerakkan Dakwah.



Kelab al-Azhar Members (ALAM) melangkah setapak lagi ke hadapan dalam melalui rentetan babak-babak perjuangannya dengan penganjuran Malam Ukhuwwah Perdana baru-baru ini. Malam Ukhuwwah Perdana yang bertemakan “Semarakkan Ukhuwwah, Gerakkan Dakwah” itu menghimpunkan seluruh persatuan dan warga KUIS dalam usaha merapatkan hubungan silaturrahim demi menggerakkan usaha dakwah di kampus ini. Program tersebut dianjurkan bertujuan untuk menjelaskan lagi peranan ALAM sebagai peneraju dakwah kampus disamping merapatkan lagi kelab ini dengan seluruh warga KUIS.

Tetamu yang hadir kira-kira 350 orang bersesak-sesak memenuhi Auditorium sebaik sahaja selesai menunaikan solat fardhu Isyak dengan penuh penantian dan harapan. Kehadiran tetamu yang di luar jangkaan itu menyaksikan hampir setiap sudut dan tempat duduk dipenuhi oleh hadirin. Majlis dimulakan denagn bacaan ayat-ayat suci al-Quran diikuti dengan ucapan pengerusi BADAR. Majlis pada malam tersebut diteruskan dengan ucapan wakil Presiden ALAM diikuti dengan ucapan wakil Penasihat ALAM, Ust. Abu Zaki B. Ismail selaku Timbalan Nazir Masjid al-Azhar yang mewakili Ust. Mohd Farid Ravi yang tidak dapat hadir.

Kemuncak pada malam Ukhuwwah tersebut ialah pelancaran kumpulan nasyid ALAM “Shababul Islami” dan pelancaran yang penuh simbolik itu disempurnakan sendiri oleh Ust. Abu Zaki diiringi oleh Presiden ALAM. Kumpulan Nasyid Shababul Islami yang baru ditubuhkan itu juga berkesempatan mempersembahkan sebuah lagu sebagai hadiah kepada tetamu yang hadir. Persembahan nasyid daripada kumpulan Shababul Islami mendapat sambutan yang begitu membanggakan daripada tetamu yang hadir dengan tepukan gemurruh dan sekali-sekala kedengaran laungan takbir mengiringi persembahan tersebut.

Majlis yang pada awalnya dianjurkan secara sederhana tetapi mendapat sambutan yang membanggakan itu berakhir pada pukul 11.15 malam dengan bacaan doa. Penganjuran Malam Ukhuwwah Perdana pada malam tersebut amat penting bagi ALAM khususnya bagi meneruskan usaha murni memartabatkan Islam di bumi KUIS agar difahami dan dihayati sepenuhnya dalam kehidupan mahasiswa dan warga KUIS serta memimpin kearah perubahan yang lebih baik. Semoga usaha ini dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan mendapat keredhaan Allah SWT.

“ ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN ”

Takbir!!!

0 pandangan: