i 2011 ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Melangkah Bersama Islam

Kelab Al-Azhar Members KUIS (ALAM KUIS) merupakan sebuah persatuan mahasiswa bernaung di bawah Masjid Al-Azhar KUIS.

Pemangkin Generasi Intelektual

NISA Al-Azhar Members KUIS merupakan sayap siswi bagi Kelab Al-Azhar Members KUIS.

Ahlan Ya Ramadhan !

Jadikan Ramadhan tahun ini platform anda tqarrub pada Allah!

Wednesday 7 December 2011

Hadith Palsu Mengenai Hari Asyura


Antara hadis-hadis maudhu' yang tersebar luas:

1. Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : "Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka Allah akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Asyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka. "Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : "Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Asyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : "Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, menjadikan laut pada hari Asyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Asyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Asyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Asyura, Allah menenggelamkan Fir'aun pada hari Asyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Asyura, Allah menerima taubat Nabi Adam pada hari Asyura, Allah mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Asyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Asyura!".

Hadis ini statusnya maudhu' (rekaan/palsu) mengikut Syaikhul Hadis Nasiruddin alBani dan pendustaan terhadap Ibn Abbas RA. Ibn Jauzi pula menegaskan hadis ini maudhu' tanpa ragu lagi. Imam Dzahabi juga menyebut sebagai maudhu' (rekaan). Imam Ahmad Ibn Hanbal menjelaskan hadis ini direka oleh seorang pendusta bernama Habib bin Abu Habib. Ibn Hibban juga memberitahu hadis ini adalah batil dan tidak halal menyibarkannya.

2. Diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari ‘Asyura’, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya". Hadis ini maudhu’ (palsu).(Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al Dhaifah, 624). Ibn al-Jauzi, al-Maudhu ‘at, 2/116)


Friday 2 December 2011

Ghazwatul fikr (Serangan Pemikiran), Merdekakah kita?



Firman Allah s.w.t : “Orang yahudi dan nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.  Katakanlah " Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar) dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu."

Surah Al - Baqarah: 120.

Sedikit coretan tentang peperangan pemikiran. Apakah maksud Peperangan Pemikiran atau Ghazwatul Fikri ini? Isitilah ini telah meluas digunakan oleh ulama’-ulama’ terdahulu seperti Syed Qutb, Muhammad Qutb, Syed Hawa, dan ideologi yang lain dalam karya-karya mereka.

Serangan pemikiran ini terbukti lebih berbahaya berbanding serangan fizikal dan telah pun berjaya  mengaburi fikiran anak-anak muda. Ini terbukti apabila ramai anak muda kini mengamalkan gaya hidup orang kafir dan tidak mementingkan perjuangan amal Islami. Justeru itu, kepentingan kepada material telah menyebabkan mereka berasa tidak yakin untuk menghadapi dunia sebagai seorang muslim.

Antara senjata bagi serangan pemikiran adalah:
1 - Akronim 5S : Sex, Smoke, Study, Song, Sport.
2-  Akronim 5F  : Food, Fashion, Fun, Female, Fest.
3- Akronim SPIDER : Sex, Pills, Individualistic, Drug, Entertainment, Routine.

Perhatikan kepada Akronim SPIDER pada huruf R. Routine yang dimaksudkan disini adalah rutin yang menyebabkan seseorang itu lalai dan jauh dari Allah s.w.t. Dengan menggunakan ideologi-ideologi ini, mereka cuba mencabut pakaian Islam dari seorang muslim. Ancaman pemikiran pada abad ke 21 ini semakin hari semakin sengit sementara pemikir-pemikir Islam yang kian berkurang

Tuesday 25 October 2011

Al-An'am



Tanggal 11 Zulhijjah , pagi itu aku dan Angah sudah tidak sabar untuk melihat orang-orang kampung menyembelih lembu yang dibeli oleh ayah seminggu yang lalu. Inilah pengalaman pertama aku melihat bagaimana proses penyembelihan dijalankan. Walaupun jauh di sudut hati kami, kami berasa sayang untuk melihat lembu itu dikorbankan.

“Cucu atuk buat ape kat sini?” Atuk menyapa kami sambil memegang bahu angah dan menarik tanganku yang yang sedang menggigit jari.  “Atuk, kami sayang kat lembu tu, semalam Angah dan Along baru je bagi lembu tu makan,  tapi kalau dah sembelih nanti, tak dapatlah kami nak bagi die makan lagi, kan Along? ” Aku mengangguk, tanda setuju dengan kata-kata Angah.  “Tak salah cucu atuk sayang kat lembu tu, tapi di sinilah kita dapat melihat sejauh mana diri kita sanggup mengorbankan harta yang kita ada untuk beribadah kepada Allah. Dengan ibadah korban, ia mendidik kita agar tidak kedekut dan tidak tamak dengan harta yang kita miliki. Harta yang Allah kurniakan kepada kita bukanlah hanya untuk kita nikmati sendiri, tapi ia perlu dikongsi dengan orang lain yang berhak menerimanya.

Ibadah korban juga perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas, kerana Allah tidak menerima amalan orang yang tidak ikhlas. Kita perlu jelas dengan tujuan ibadah korban dilaksanakan, ia perlu dilakukan dengan niat kerana Allah untuk mendekatkan diri dengan Allah serta mendapatkan ganjaran yang telah dijanjikan.” Atuk bersyarah panjang. “Oh, Along tahu, macam cerita Habil dan Qabil kan atuk?” Aku mencelah. “Ya, pandai cucu atuk, kisah Habil dan Qabil adalah antara sejarah yang boleh dikaitkan dengan ibadah korban. Dalam surah Al- Ma’idah ayat yang ke-27, Allah berfirman maksudnya:

“dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) Yang berlaku Dengan sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari Yang lain (Qabil). berkata (Qabil):" Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang Yang bertaqwa.”

Thursday 13 October 2011

Sejukkan Dengan Wuduk


“Rasullullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak dari berlakunya perkara buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada keadaan yang lebih baik”.

Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda: orang yang kuat bukan terletak pada kemampuannya berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah. (HR Imam Ahmad)

Islam mengajar umatnya bagaimana mengawal diri ketika marah supaya kemarahannya tidak berlarutan. Antaranya, apabila seseorang sedang marah itu berdiri, adalah lebih baik dia duduk.

Sabda Rasullullah s.a.w: ‘jika seseorang antara kamu marah sedang dia dalam keadaan berdiri, mak hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang marahnya, maka hendaklah dia baring’. (HR Imam Ahmad)

Selain itu, mereka yang sedang marah boleh memadamkan kemarahannya dengan berwudhu’. Antara kelebihan berwudhu’ ialah membersihkan diri daripada kekotoran hati dan secara fizikalnya menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.

Sunday 25 September 2011

Peranan Mahasiswa & Mahasiswi Islam


Mahasiswa dan mahasiswi merupakan aset yang amat bernilai bagi negara. Lebih-lebih lagi mahasiswa dan mahasiswi yang bergelar muslim, peranan kita amatlah besar, bukan sahaja kepada negara, malah kepada ummat Islam secara keseluruhannya. Persoalannya, bagaimana kita mahu mengorak langkah sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang membangun ummah? Apakah yang perlu kita lakukan untuk terus kehadapan dengan membawa cara hidup Islam secara total? Pertama dan terutama, mahasiswa dan mahasiswi  harus sedar apakah tujuan sebenar kita dijemput untuk hidup di dunia ini.

“dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” 
(Az-Dzariyaat:56)

Untuk bergerak sebagai mahasiswa yang membangun ummah, mahasiswa perlu berpegang pada prinsip utama dalam Islam, iaitu aqidah yang jelas dan mantap. Perkara ini perlu dititikberatkan agar aqidah yang dipegang mampu membawa mahasiswa ke tahap intelektual yang lebih tinggi dan memberi manfaat kepada ummah dalam apa jua bidang yang diceburinya.

Dalam mengorak langkah untuk terus kehadapan, mahasiswa dan mahasiswi perlu berjaga-jaga dengan pengaruh aliran-aliran yang boleh merosakkan aqidah. Ini adalah kerana ianya akan menghalang mahasiswa dan mahasiswi untuk mempraktikkan gaya hidup Islam secara total. Bahkan, aliran-aliran ini juga semakin berani untuk meragut aqidah dan pendirian mahasiswa Islam.

Pengaruh aliran-aliran ini merupakan pengkhianatan dan pencabulan yang amat dahsyat kepada umat Islam khususnya jika berlaku ke atas mahasiswa dan mahasiswi Islam. Antara aliran-aliran tersebut adalah sekularisme, liberalisme dan pluralisme serta pelbagai lagi ideologi ciptaan musuh Islam. Fenomena ini juga disebut sebagai "Ghazwatul Fikr" iaitu Perang Pemikiran.

Tuesday 20 September 2011

Sepinggan Pahala Berulamkan Dosa

MAD'U & DU’AT

Dewasa ini, kesibukan beberapa para du’at (pendakwah) dalam menyajikan bahan dakwah kepada mad'u (orang yang didakwah) dalam alam siber ini menyebabkan sesetengah daripada du’at alpa bahawa mereka juga akan diuji oleh Allah SWT dalam pelbagai bentuk dan dimensi. Antara yang paling sukar untuk ditempuhi ialah ujian dalaman yang melibatkan persoalan sejauhmana rasa “ihsan” dalam diri.




Dakwah di alam dunia ini luasnya tanpa batasan. Namun terkadang, ada pendakwah yang tersesat dalam dunia siber yang penuh dengan lumpur dosa. Akhirnya perjuangan dakwah yang dilakukan terhijab dari mendapat nusrah (pertolongan) Allah SWT. Bak kata pepatah “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Ini bukan sahaja menyukarkan untuk mencapai matlamat dakwah, bahkan pula mengundang kemurkaan Allah SWT. Bagaimanakah mungkin pertolongan Allah dapat diperoleh jika keadaan ini berlaku?


Ketika kita keseorangan dalam melayari internet, semuanya boleh berlaku. Pengaruh
syaitan dan nafsu jangan dipandang remeh. Suntikan syaitan dan desakan nafsu mampu mengegarkan iman walau sebesar gunung-ganang di Everest. Buktinya telah banyak Allah tunjukkan kepada kita.

Wednesday 7 September 2011

Pesan Saidina Umar Al-Khattab

Ayuh kita hayati dan fahami pesanan di bawah...


*   Siapa yang menjaga percakapannya dianugerahkan kepadanya hikmah.
*   Siapa yang menjaga penglihatannya dianugerahkan kepadanya hati yang khusyuk.
*   Siapa yang menjaga makanannya dianugerahkan kepadanya kelazatan dalam beribadah.
*   Siapa yang bersabar di atas ujian Allah, disempurnakan sabarnya lalu di masukkannya ke dalam mana-mana syurga yang di sukai.
*   Siapa yang menjaga daripada bergurau dianugerahkan kepadanya keelokan atau kemuliaan.
*   Siapa yang menjaga daripada ketawa dianugerahkan kepadanya kehebatan.
*   Siapa yang meninggalkan cinta dunia dianugerahkan kepadanya dapat melihat kesalahan dirinya sendiri.
*   Siapa yang meninggalkan kesibukan dunia dan mencari kesalahan yang dilakukan kepada Allah dianugerahkan kepadanya pelepasan daripada nifaq.

Tuesday 30 August 2011

Sempena Aidilfitri 1432 Hijrah


الله أكبر! الله أكبر! الله أكبر! 
لا اله إلا الله والله أكبر! الله أكبر ولله الحمد!

Alhamdulillah, selesai sudah ibadah yang difardukan oleh Allah iaitu Puasa di Bulan Ramadhan. Kepergian Ramadhan akan terus dikenang oleh mukminin dan mukminah yang berterusan istiqamah menghidupkannya dengan amalan sunnah yang dituntut.

Kini, Syawal menjelma. Bulan kemenangan bagi umat Islam yang diberikan oleh Allah. Semoga amalan dalam Ramadhan kekal di Syawal, kemudian di Zulkaedah dan Zulhijjah hinggalah muncul Ramadhan semula. Bulan Syawal menjadi penanda awal bagi menentukan hasil didikan tarbiyah dari Kem Ramadhan.

Sunday 24 July 2011

Kesibukkan Da'ie???

KITA SIBUK?  SIBUK DENGAN APA?

Kita sering merungut sibuk. Saya sibuk, tak dapat nak hadir majlis ilmu, tak sempat hadir usrah, tak sempat nak hadir mesyuarat dan lain-lain. Tapi tahukah anda bahawa Nabi adalah manusia yang paling sibuk. Namun kita lihat bagaimana ia memperuntukkan masanya untuk beribadah kepada Allah sehingga bengkak kedua kakinya sedangkan beliau telah dijanjikan syurga.

Ini kerana beliau mahu menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah yang telah memberinya banyak nikmat. Maka marilah kita sama-sama ukur sejauh mana kesibukan kita dan kesyukuran kita kepada Allah  S.W.T.

Rasulullah S.A.W. sibuk kerana :
  • Memikirkan masalah umatnya sampai kiamat
  • Bermunajat kepada Allah setiap malam
  • Berperang di Jalan Allah
  • Melayani isteri-isteri Baginda dan mendidik Ummahatul Mukminin
  • Menerima dan mengajar Al-Qur'an yang disampaikan oleh Jibrail  selama 23 tahun serta menghafalnya
  • Melayani tetamu dari bangsa Badwi, Yahudi, Parsi, dan lain-lain
  • Menziarah orang sakit (biar muslim, munafiq atau yahudi)
  • Mengajar ilmu Al-Qur'an kepada Jin
  • Memikirkan untuk menyelamatkan umatnya di hari kiamat (dengan  menyimpan permintaan yang paling besar kepada Allah untuk digantikan  dengan syafaat)

Monday 2 May 2011

Rindu Subuh

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain diriku menyambut seorang tetamu tetapku. “Subuh”.

Subuh menyapaku dengan salam. “Wa’alaikummus salam,” sahutku.

Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang merupakan tugasnya setiap hari.

“tadi ...”, kata Subuh dengan sayu,” ... saya baru sahaja melintasi satu tempat yang didiami ramai manusia, ku cari tempat persinggahan, ku ketuk rumah-rumah sunyi, tapi satu pun tidak mahu menerimaku sebagai tetamu.”

Dan air mata Subuh pun berlinangan.


“Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah saya menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.

“Oh ya, tadi saya lalu  di suatu  tempat yang tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat dan mengiurkan. Hidangan yang paling ku suka adalah buah tahajjud, puas ku cari di bumi lain, tapi jarang ku jumpa. Di situ saya meratah buah tahajjud dengan puas dan leka”.

Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh.

“Maaf Subuh, saya tiada menanam pohon qiam, jadi saya tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi saya ada roti sahur.” cadangkan pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. “Roti itu ada tuan punyanya.” kata Subuh.

“Adakah kau mahu manisan zikir?”, rayuku pada Subuh.

“Baiklah, ambilkan saya sedikit, serta bawakan saya segelas air mata tangisan.” pinta Subuh.

Aku agak sugul. Bagaimana harusku memberitahu Subuh yang air mata tangisan sudah  hampir kekeringan akibat kemarau maksiat yang berpanjangan?

Namun, aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang memuatkan mata air tersebut. Aku separuh terkejut, perigi tersebut hampir separuh penuhnya dan terdetik di dalam hatiku, adakah ini petanda kemarau akan berakhir?

Tanpa berlengah lagi ku bawa air tersebut pada Subuh, tetamu yang ku sanjungi, dan ku suapkan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah  semuanya, Subuh pun melirikkan senyuman.

“Subuh...”, seruku.

“ ....mahukah kau tinggal selamanya denganku? Saya memerlukan teman dalam kesunyian. Akan ku layan dirimu dengan  sebaiknya, wahai Subuh.”

Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku takkan dipenuhi.

“Saya perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana saya menguliti mimpimu”.

Dan diriku akur dengan penjelasan Subuh. “Subuh …”, seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi. “Sudikah dikau menziarahi ku lagi esok hari?”

“Insyaallah”, jawab Subuh. “ ... bukankah saya kekasih yang kau rindui?”

Subuh berangkat lambat tetapi tetap. Dan mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin laju dengan setiap langkah. Akhirnya Subuh hilang dari pandangan.

Pesanan Bersama : Rindu Yang Hakiki Adalah Rindu Kepada Allah & Allah Rindu Kepada Hambanya Yang Menghidupkan Waktu 2/3 Malamnya Yang Hampir Dengan Subuh...

Tok Pulau Manis : Ulama Nusantara Yang Disegani


TOK PULAU MANIS atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Malik lahir di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060H / 1650M, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama diperingkat awal dari kaum keluarganya sendiri. Tok Pulau Manis kemudiannya belajar di Aceh yang digelar “Serambi Mekah”.

Adalah dipercayai  beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama’ besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050H/ 1620-1693M) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang  dikarang dalam  Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf  Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah  sekitar tahun 1680M, ketika itu beliau dipercayai berumur 30 tahun.

Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama’-ulama’ terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011H/1616-1690M), yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari  Terengganu,  Faqih Abdul Kadir Palimbang,  Faqih, Abdul Rahman Patani, Faqih Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian.

Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Tok Pulau Manis telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf di samping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu lain seperti nahu, saraf dan sebagainya. Beliau mendalami Fiqh al-Syafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Syafie di sana.


Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahli al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ‘ubudiyah kepada pengajian Tasawwuf.

Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, antara yang  orang yang terpenting ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Syazili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abdullah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Ghazali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, ibn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. 

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawa. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawa yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fattani, Syeikh Abdul Samad Palembang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib  Abdul Latif Minangkabau. 

Sebagai guru yang amat meminati Tasawwuf beraliran etika ‘Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih untuk mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin, Matan Hikam Ibnu Ata’ullah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik.

Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam Melayunya :

“bahawasanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salih untuk menterjemahkan aku akan dia dengan bahasa Jawi  supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikian itu dengan  sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah aku memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia.”

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang,  sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut, Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1960-an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan diperkukuhkan lagi dengan Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam konteks perkembangan sosial semasa.

Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Zainal Abidin I menjadi  sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734M) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik  berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis, baginda juga telah turut sama berpindah dan  menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu.

Tok Pulau Manis menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama’ istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Tok Pulau Manis berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan   mengetuai majlis-majlis tersebut.

Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama’ dan Mufti beliau mengeluarkan fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum-hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fiqh.


Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun iaitu pada tahun 1149H bersamaan 1736M sebagaimana yang tercatat pada makamnya. Semoga rohnya dirahmati Allah.