i 2012 ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Melangkah Bersama Islam

Kelab Al-Azhar Members KUIS (ALAM KUIS) merupakan sebuah persatuan mahasiswa bernaung di bawah Masjid Al-Azhar KUIS.

Pemangkin Generasi Intelektual

NISA Al-Azhar Members KUIS merupakan sayap siswi bagi Kelab Al-Azhar Members KUIS.

Ahlan Ya Ramadhan !

Jadikan Ramadhan tahun ini platform anda tqarrub pada Allah!

Wednesday 26 December 2012

PRK 2012 : Pilihlah Calon Yang Terbaik

Islam merupakan agama yang syumul. Di dalamnya, dilengkapkan konsep-konsep yang pelbagai merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Biarpun ianya adalah sekecil-kecil perkara seperti adab-adab di tandas hinggalah sebesar-besar perkara seperti pemerintahan Negara dan kepimpinan.

Seorang pemimpin dalam Islam mestilah mereka yang bertanggungjawab terhadap Allah, manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Pemimpin mestilah individu yang menjalankan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah dan melangsaikan amanah kepada orang yang berada di bawah pimpinannya. Rasululullah s.a.w merupakan contoh pimpinan terbaik yang memimpin dengan berlandaskan ilmu, iman, akhlak dan syariat.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Anfal, ayat ke 27 yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah- amanah yang diberikan kepada kamu dalam keadaan kamu mengetahuinya”.


Memilih calon Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk sesi akan datang dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) pada Khamis, 27 Disember 2012 ini merupakan tanggungjawab setiap dari kita, pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Hal ini kerana di masa akan datang mereka inilah individu-individu yang akan menyusun strategi kearah kecemerlangan siswa dan siswi KUIS dalam setiap aspek, dan kita pula ialah individu yang berada di bawah kepimpinan MPP ini. Justeru, kitalah tangan-tangan dan jiwa-jiwa yang paling berhak memilih calon pimpinan kita di masa depan.

Dalam usaha kita untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, penilaian dan pemilihan yang tepat mestilah dibuat. Pilihlah calon yang bertaqwa, yang bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah, yang paling layak dari segi akhlak dan akademik, yang sentiasa berusaha melakukan kebaikan serta sentiasa menyebarkan keindahan agama Islam kepada seluruh masyarakat KUIS.

Memilih pemimpin bukanlah suatu yang mudah, pengamatan terhadap peribadi calon, kebertanggungjawaban dan bakat kepimpinan yang ada haruslah diperhalusi. Yang paling penting, kita disarankan untuk memilih calon yang paling ‘dekat’ dengan Allah supaya setiap dari gerak kerja memimpin mahasiswa yang dilakukannya pada masa akan datang dilancarkan dan dipermudahkan oleh Allah.

Setiap dari kebaikan atas landasan ikhlas dan ilmu pastilah dibantu oleh Allah, maka memilih kepimpinan dalam Islam bukanlah perkara remeh yang boleh ditinggalkan mengikut perasaan, bahkan ianya sesuatu yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan menurut syariat yang telah digariskan.

Al-‘Alamah Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah berkata: Sesungguhnya melantik Pemimpin itu hukumnya adalah wajib, sudah diketahui wajibnya dari segi hukum dengan ijmak para sahabat dan tabiin, kerana para sahabat ketika wafatnya Raulullah S.A.W bersegera membaiahkan Abu Bakar, begitulah seterusnya sepanjang zaman selepas itu tanpa dibiarkan manusia itu huru hara tanpa pemimpin dan tepatlah perkara ini menjadi ijmak wajibnya melantik pemimpin.”

Justeru, kami di peringkat pimpinan Kelab Al-Azhar Members (ALAM), menyeru seluruh siswa dan siswi untuk turun mengundi. Buatlah pilihan yang terbaik dan marilah sama-sama mengembeling tenaga dan bersatu hati dalam memastikan kecemerlangan Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang kita cintai ini dimasa hadapan.

Amirul Hafiz bin Othman
Artikel Mantan Presiden ALAM 2012
26 Disember 2012 | 8.00 pagi

Friday 21 December 2012

SECRET OF QIAMULLAIL


Qiamullail bermaksud beribadah malam iaitu bangun pada 2/3 malam atau sekurang-kurangnya 1/3 akhir malam, bermula dari pukul 2.30 hingga terbit fajar pertama untuk beribadat kepada Allah SAW. Waktu ini adalah masa teristimewa dan turunnya Rahmat Allah SWT ke bumi dan amat sesuai untuk Qiamullail dengan melakukan solat-solat sunat dan berzikir kepada Allah SWT.

Tuesday 18 December 2012

SEJARAH SYIFA’ BINTI ABDULLAH AL-ADAWIYYAH R.A



Namanya Syifa' binti Abdullah ibn Abd Syams al-Quraisyiyyah al-Adawiyyah. Ada pendapat mengatakan nama sebenarnya Laila binti Abdullah. Beliau adalah isteri kepada Abu Hathmah ibn Huzaifah ibn Ghanim al-Quraisy al-Adawi. Beliau dikurniakan seorang anak bernama Sulaiman bin Abu Hathmah, seorang lelaki yang dihormati sebagai orang yang kuat beragama di kalangan ummat Islam.

Kemuliaan
Syifa’ bermaksud sebuah doa dan harapan yang terawal dilakarkan oleh ibu bapa buat seorang anak.. Beliau adalah seorang sahabiah yang terkenal dengan kebaikan hatinya dan kepintarannya dan merupakan salah seorang daripada segelintir kaum hawa Quraisy yang mahir menulis dan membaca. Beliau tergolong di kalangan sahabat dan sahabiah yang terawal memeluk Islam dan turut berhijrah ke Madinah.

Beliau turut memiliki kedudukan yang terhormat di sisi Ummahatul Mukminin, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. As-Syifa' sentiasa datang menjenguk Ummul Mukminin, Hafsah dan mengajarkannya menulis. Rasulullah s.a.w. telah menyuruh as-Syifa' mengajarkan Hafsah menulis dan cara mengubati penyakit kulit dengan teknik ruqayyah. 

Diriwayatkan oleh Abu Daud, dari Syifa' binti Abdullah bahawa dia berkata: "Rasulullah s.a.w. datang menjengukku dan aku sedang bersama Hafsah. Rasulullah berkata kepadaku, "Ajarkanlah Hafsah cara mengubati penyakit kulit dengan teknik ruqayyah sebagaimana engkau mengajarkannya menulis." Rasulullah s.a.w. menghormatinya dan bersaliturahim dengannya. Rasulullah s.a.w. juga telah memberinya sebuah rumah di Madinah. As-Syifa' telah tinggal di rumah tersebut bersama anaknya Sulaiman.

Thursday 13 December 2012

LIDAH TENTUKAN LANGKAH MANUSIA KE SYURGA ATAU NERAKA




KATA Imam al-Ghazali, lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.

Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”

Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka.

Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah apabila bercakap.

Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepadai kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa.

Friday 30 November 2012

“Flash Mob” di KUIS Berjaya Sentuh Nurani Masyarakat


BANGI, 30 Nov 2012 – Keprihatinan terhadap isu Palestin dan Syria telah mendorong para mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), untuk melaksanakan “Flash Mob” di Masjid Al-Azhar KUIS, Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.

Inisiatif yang kreatif ini dianjurkan demi meluahkan rasa peduli dan tanggungjawab sebagai saudara sesama Islam mengenai bencana yang menimpa umat Islam di Palestin dan Syria. Flash Mob itu telah menarik perhatian para jemaah solat Jumaat terhadap keadaan dan nasib umat Islam yang semakin ditindas oleh tentera Zionis Laknatullah serta kaum syiah di Syria.

‘Flash Mob’ merupakan satu aktiviti atau persembahan taridra yang dilaksanakan dengan cara yang pelbagai, diantaranya adalah dengan melakukan pergerakan statik selama beberapa minit untuk menarik perhatian orang sekeliling. Program dianjurkan pada hari Jumaat setelah selesai solat Jumaat pada jam 2.30 petang. Program yang dilakukan selama satu jam telah mengumpulkan para jemaah untuk menyaksikan serta turut serta meluahkan bantahan terhadap negara haram Israel yang menindas rakyat Palestin sejak berpuluh tahun. Seramai 20 orang peserta telah menjayakan program ini yang terdiri daripada semua mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarangsa Selangor (KUIS) dengan kerjasama beberapa kelab dan badan NGO.

Objektif program ini untuk dijadikan salah satu usaha bantuan kepada rakyat Palestin dan Syria dalam bentuk fizikal dan moral walaupun kita tidak mampu untuk turut membantu perjuangan mereka di sana. Selain itu, usaha ini juga adalah salah satu wasilah untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa khususnya dan masyarakat awam amnya melalui cara yang lebih kreatif.

Di samping itu, program ini juga dianjurkan bagi membuat kutipan dana Tabung Kecemasan Palestin melalui HALUAN Malaysia untuk disalurkan terus kepada saudara kita di sana. Namun, tujuan paling utama adalah dalam rangka menunaikan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Islam sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W di dalam hadisnya yang bermaksud “Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Muslim, maka dia bukanlah dari golongan aku”.

Program ini merupakan hasil usaha bersama pelbagai kelab persatuan dan badan NGO yang berdaftar iaitu pihak Masjid Al-Azhar KUIS, Kelab Al-Azhar Member KUIS, sukarelawan Aman Palestin, Kelab Aqsa Syarif KUIS, Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) dan juga para mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Persembahan yang julung-julung kali diadakan di KUIS menjadi tarikan ahli jemaah untuk turut serta melihat dan juga bersama para peserta, mahasiswa dan orang awam. Setelah selesai persembahan, program diteruskan dengan sesi ‘Speakers Corner’. Pada sesi ini, setiap wakil kelab dan persatuan KUIS telah menyampaikan ucapan masing-masing yang penuh bersemangat dan lantang.



Hujan yang merupakan rahmat daripada Allah telah menjadikan suasana bertambah menarik apabila kesemua peserta tetap tidak berganjak dari lokasi program yang tidak berbumbung. Walau hujan membasahi setiap individu, semangat dan juga kesedaran telah mengajak hati masing-masing untuk tetap berdiri di situ. Setelah selesai sesi ucapan, kesemua peserta bersama masyarakat dan juga mahasiswa KUIS telah sama-sama membacakan doa wahdah dengan penuh insaf, bersemangat dan muhasabah mengenangkan nasib saudara muslim Palestin dan Syria.

Salah seorang peserta program telah berkata, “Saya rasa sebagai seorang muslim yang berada di sebuah negara aman Malaysia bersyukur dengan keamanan dari perang yang kita rasai. Oleh itu, rasa syukur ini perlulah ditafsirkan melalui tindakan kita dengan memberi pertolongan dalam pelbagai bentuk yang kreatif selagi tidak melanggar batas syarak. Dalam isu Palestin ini, pertolongan adalah wajib bagi setiap individu muslim”.



Seorang pensyarah pula berkata, “Sebagai pensyarah, saya amat kagum dengan sikap mahasiswa sekarang yang semakin sedar akan segala permasalahan ummat yang berlaku di dunia.Isu Palestin bukan hanya isu orang Palestin akan tetapi isu semua orang. Bagi yang muslim, Palestin adalah isu Aqidah dan Iman”.

Program ini telah berlangsung dengan lancar dengan mendapat sambutan yang hangat daripada orang awam. Pihak penganjur amat bersyukur kerana berjaya mengutip derma sebanyak RM1108.30. Wang tersebut terus dihantar kepada pihak HALUAN Malaysia untuk disalurkan kepada rakyat Palestin dan Syria. Pihak penganjur berharap agar isu ini akan terus disambut oleh semua rakyat Malaysia khususnya dan ummat dunia amnya agar kita tidak akan bisu tatkala di soal di akhirat kelak terhadap apa tindakan kita kepada ummat Islam yang ditindas habis-habisan. Moga ini akan menjadi saham akhirat bersama.

Dipetik daripada: http://www.haluan.org.my/v5/palestin/iktibar/1811-flash-mob-di-kuis-berjaya-sentuh-nurani-masyarakat

Sunday 30 September 2012

Sempena Peperiksaan Akhir Semester Okt 2012



Assalamulaikum w.b.t dan Salam di ambang menghadapi imtihan buat seluruh warga mahasiswa dan mahasiswi   Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Semoga sentiasa di bawah lembayung rahmat kasih Allah S.w.t. Bersyukur  ke Hadrat Ilahi kerana masih memberi nikmat iman dan islam kepada kita semua.

Dalam kesibukan kita, sedar tidak sedar kita menghampiri kepada penghujung semester bagi sesi 2012/2013 dan bakal menghadapi  peperiksaan akhir yang menjelang tiba. Lumrah perjalanan seorang pencari ilmu, apabila mendapat ilmu pasti akan diuji kefahaman ilmu yang diperolehi. 

Janganlah kita hanya menjadi mahasiswa  yang mengejar pointer yang tinggi 4.0, tetapi kita alpa dalam meningkatkan ibadat kita kepada Allah s.w.t. Rebutlah peluang minggu “Study Week” ini  dengan sebaiknya. Sebagai Mahasiswa yang bijak, pengurusan masa amatlah dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Ianya tetap akan hadir dan seharusnya kita mengoptimumkan masa yang ada dengan pengisian ilmu dan ibadah pada Allah S.W.T.



Monday 17 September 2012

16 September : Harga Sebuah Kebebasan

1. Rakyat di Malaysia pada tarikh ini, tersenyum menyambut sambutan hari Malaysia, sejarah mencatatkan pada 16 September 1963, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan penubuhan Malaysia  di dataran merdeka disaksikan hampir 30 000 rakyat Malaysia, dan sehingga kini, sambutannya masih diraikan. Ayuh kita panjatkan setinggi- tinggi kesyukuran hanya kepada Allah diatas rahmat keamanan yang telah dikurniakan kepada kita sehingga ke hari ini.

2. Kebebasan sebenar buat diri seorang hamba Allah adalah pembebasan dari segenap bentuk penjajahan, segala bentuk fahaman yang bertentangan dengan ajaran islam wajib ditolak. Sebagaimana sifat iblis yang suka menghasut manusia supaya berbuat sesuatu yang berlawanan dengan perintah Allah. Sifat iblis ini adalah suatu penjajahan atas manusia yang beriman, maka iblis adalah penjajah pertama terhadap manusia. Oleh itu, kemerdekaan dari hasutan iblis adalah wajib, dan sebagaimana kita juga wajib merdeka dari fahaman kebangsaan dan sekular yang dibawa oleh penjajah.

3. Dalam kegembiraan kita meraikan kemerdekaan dan sambutan hari Malaysia, usah pernah lupa, sejarah luka umat islam juga pernah mengukir kisah sadis pada tarikh ini- 16 September.

Saturday 15 September 2012

Filem penghinaan terhadap Rasulullah : ALAM seru perkasa agenda dakwah




Sekali lagi, umat islam diseluruh dunia dikejutkan dengan penerbitan sebuah filem yang menggambarkan penghinaan yang amat dahsyat terhadap Rasululullah s.a.w, filem yang berjudul  ‘Innocence of Muslims’ sekali lagi menyentak hati umat islam selepas siri- siri penghinaan yang ‘dilepaskan’ sebelum ini, seperti karikatur menghina Rasulullah,  pembakaran Al- Quran dan lain- lain lagi,  seolah- olah ingin mencabar dan menyukat paras sensitivitI umat islam pada hari ini.


Filem ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh seorang yahudi Amerika yang bernama Sam Bachile  yang bertindak melampaui batas ‘lampu merah’ sehingga dicatatkan, muslim diseluruh dunia : Mesir, Sudan, Tunisia, Yaman, Pakistan, Afghanistan, Indonesia  termasuk Malaysia, pada semalam (jumaat) telah keluar menjalankan protes bantahan selepas menunaikan solat jumaat di kebanyakan di hadapan kedutaan Amerika di negara- negara masing- masing. Bahkan  bantahan juga dibuat oleh  Vatican City Rome, Italy iaitu Pusat Kristian Katolik, dari Yahudi Ortodoks dan beberapa kumpulan agama yang lain, yang tidak bersetuju dengan cara yang dilakukan oleh kumpulan (penerbit filem) ini. Kandungan filem ini dikatakan telah menghina Baginda Nabi SAW dengan mewatakkan baginda sebagai seorang lelaki yang kejam dan ‘gila perempuan’. Bukan itu sahaja, bahkan individu yang terlibat dalam menghasilkan video ini turut menghina al-Quran dan para sahabat.

Thursday 30 August 2012

55 Tahun Kemerdekaan

KEMERDEKAAN

Bismillahirrahmanirrahim..
(Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani)

APA  ERTI  NEGARA MALAYSIA TELAH  MERDEKA?? Layakkah  Malaysia mendapat kemerdekaan?? Mari kita sama-sama fahami erti merdeka yang sebenar.

 Apabila kita berbicara tentang erti kemerdekaan, mungkin setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.

Monday 6 August 2012

NUZUL AL-QURAN “KITAB ALLAH BUKAN SEKADAR UNTUK DIBACA TAPI DIAMALKAN”




Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: bulan ramadhan adalah(bulan) yang didalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai itu dan pembeza(diantara hak dan batil), karena itu, barangsiapa yang berada di dalam bulan itu maka berpuasalah…” (Al-Baqarah: 185).
         17 Ramadhan sering diperingati dan diperingatkan kepada kita setiap tahun bahawasanya pada tarikh ini Allah telah menurunkan Al-quran kepada umat Muhammad s.a.w.
Sekadar renungan buat semua, berapa ramai di antara kita yang membaca Al-quran, akan tetapi berapa ramai juga yang tidak mengamalkannya? kita seringkali menjaga fizikal Al-Quran, tetapi berapa ramai di antara kita yang menjaganya dari sudut mempraktikkan ajaran Al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita. Bahkan yang paling menyedihkan,ada diantara kita yang menolak hukum-hukum Al-Quran sedangkan Al-Quran itu diturunkan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Allah dengan tegas mengingatkan golongan seperti ini di dalam al- Quran :
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya), adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”. (Al-Jumu‘ah:5).

Justeru di bulan yang penuh barakah ini, marilah sama-sama kita menghayati Al-Quran dan mengamalkanya dalam kehidupan seharian kita dan yakinlah bahawasanya Al-Quran adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud “kitab Al-Quran ini tidak ada KERAGUAN padanya, petunjuk bagi mereka yang betaqwa” (Al-Baqarah:2).


Maka yakinlah dan berpeganglah dengan sabda junjungan mulia kita Nabi Muhammad s.a.w yang mana maksudnya “ aku telah meninggalkan pada kalian 2 perkara, jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu kitab Allah dan sunnah nabinya.
(HR:MUSLIM)

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita menghayati nuzul Al-Quran ini sebagai 1 peristiwa besar penuh makna dan hikmah. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang, bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya  memajukan dunia ini dengan Al-Quran...
 persoalanya, kenapa Al-Quran itu tidak dapat memajukan umat islam zaman sekarang sedangkan pada zaman Rasulullah s.a.w  mereka hanya berbekalkan Al-Quran dan As-sunnah sehingga menjadikan diri mereka generasi ulul Albab, adakah ianya berlaku kerana kesilapan kita sendiri??Ya!!kerana kita tidak mengamalkan dan mengaplikasikan isi Al-Quran itu kedalam kehidupan kita...jadi marilah same2 kita berubah ke arah yang lebh baik, dan same2 kita memartabatkan Al-Quran dalam kehidupan kita ini...Sama-sama kita memanfaatkan ramadhan yang berbaki ini, moga di penghujung ramadhan kali ini kita menjadi seorang hamba Allah yang bertaqwa.  Wallahu’alam...






Friday 3 August 2012

Puasa Melembutkan Hati



                                 "Puasa Melembutkan Hati"

                                        

Berpuasa dengan sempurna pada  bulan Ramadhan khususnya di bulan-bulan lain khususnya dan di bulan-bulan lain umumnya akan mendatangkan kesan yang luar biasa kepada diri insan.Ia akan melembutkan hati  keras ,membasahkan hati yang kering dan menghidupkan hati  yang mati.Puasa yang dilaksanakan dengan sempurna ialah apabila insan melaksanakannya:

-Melaksanakan dengan penuh ikhlas kerana Allah bagi mendapatkan redha dan kempunan-Nya tanpa ada sebab –sebab lain.
-Mengelakkan diri daripada perkara membatalkan.
-Menjauhkan diri daripada perkara yang dimakruhkan.
-Mengerjakan perkara yang disunatkan yang antaranya ialah memperbanyakkan  membaca al-Quran,bersedekah,baezikir dan mengerjakan solat sunat pada siang dan malam hari.

Monday 30 July 2012

Isu Pembunuhan Umat Islam Rohingya di Myanmar


Sekiranya kita ditanya mengenai umat Islam di negara manakah yang tertindas ketika ini, nescaya yang kerap keluar dari mulut kita adalah Palestin, Syria, Afghanistan, Iraq, dan sebagainya. Tapi, berapa ramai di antara kita yang ambil tahu tentang penindasan yang berlaku terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar (Burma) sejak sekian lama?

Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Jadi, luangkan sedikit masa dan rajinkan diri membaca untuk mengambil tahu isu ini. Ingatlah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

1. Sejak 3 hb Jun 2012 baru-baru ini, 10 orang Muslim di Taunggote, daerah Tongu dibunuh dalam sebuah bas yang sedang pulang dari majlis Tabligh untuk kembali ke Rangoon, oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine.

2. Mereka diserang setelah seorang wanita Rakhine dikatakan telah dirogol dan dibunuh oleh orang Rohingya. Lanjutan itu, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap, ibu negeri Arakan.

3. Manakala kampung Sara Prang dan Tarang Shong di daerah Rathidong telah dibakar semuanya sehingga tidak ada seorang pun lagi yang tinggal. Akibatnya ketegangan telah tercetus apabila orang Islam Rohingya terus dijadikan sasaran oleh Buddhis Rakhine termasuk di kawasan kampung lain di seluruh wilayah Arakan.

4. Setakat ini pertempuran antara pendudukan etnik Rohingya Muslim dan pihak keselamatan telah merebak ke beberapa perkampungan lain. Laporan yang diterima, polis menembak ke arah penduduk dan sehingga kelmarin beberapa orang telah terbunuh sementara ramai yang cedera.

Friday 6 July 2012

APA ITU MALAM NISFU SYA'BAN?


Adakah anda mengetahui apa itu malam nisfu Syaaban? Kebiasaannya 15 Syaaban lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban yang mana pada malamnya terdapat banyak kelebihan. ( Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban ).

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw  tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a: Terdapat hadis Nabi SAW yang menerangkan berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban, antaranya ialah hadis yang Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 


“Apabila tiba malam nisfu Syaaban maka hidupkanlah malam tersebut dan berpuasalah di siangnya, maka sesungguhnya (hari tersebut) Allah SWT turun (membuka seluas-luas pintu rahmat) ke langit dunia apabila tenggelam matahari (malam nisfu Syaaban) sehingga terbit fajar (keesokkan) seraya berkata : Ketahuilah sesiapa yang meminta ampun kepada-Ku maka Aku akan memberikan keampunan baginya, sesiapa yang memohon rezeki kepada-Ku nescaya Aku akan memberikannya rezeki dan sesiapa yang memohon kesihatan (kesembuhan) kepada-Ku akan aku berikannya kesembuhan”  Hadis Riwayat Ibnu Majah

Saturday 23 June 2012

“MIRACLE OF SYAABAN’’



             Syaaban adalah Bulan mulia iaitu bulan yang terletak di antara Rejab dan bulan Ramadhan . Manakala bulan Ramadhan seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan puasa Ramadhan dan Lailatul Qadar. Sesungguhnya orang yang mensucikan badannya pada bulan Rejab maka ia akan mensucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang mensucikan hatinya pada bulan Syaaban akan mensucikan rohnya pada bulan Ramadhan.

        " Dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

         Syaaban bermaksud berpecah atau bercerai-berai. Orang-orang Arab pada bulan tersebut kebiasaannya akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Bulan Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan sesungguhnya bulan Rejab  bulan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban   untuk memperbaiki diri dan bulan Ramadhan adalah masa untuk menyucikan hati dan jiwa.


“JOURNEY OF ISRA’ MIKRAJ”

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan seluruh umat Islam yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
       Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
     Berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.
o    01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

Wednesday 30 May 2012

Pendirian ALAM mengenai Isu Konsert K-Pop dalam Himpunan Jutaan Belia 2012


Bismillah. Assalamualaikum warahmatullah. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Asr, ayat 2:

“ Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.”

Baru-baru ini ramai pihak yang menyuarakan bantahan dan kebencian dengan sikap sambil lewa kerajaan Malaysia yang menghalalkan konsert hiburan dari artis-artis luar negara seperti K-Pop dan J-Pop di Putrajaya sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Tidak dinafikan banyak aktiviti yang “bermanfaat” diadakan dalam program ini. Contohnya, booth-booth kerjaya, ceramah motivasi, pertandingan nasyid, tilawah al-Quran dan sebagainya. Namun begitu, aktiviti-aktiviti yang “bermanfaat” ini tidak mendapat sambutan ramai dari pengunjung sepertimana perhatian yang diberi pada Konsert K-Pop dan J-Pop khususnya golongan belia yang menjadi harapan negara. Konsert hiburan yang mempunyai unsur-unsur lucah seperti ini membuatkan anak muda terus lalai, hanyut dalam buaian nafsu dan lupa akan identiti mereka sebagai ummat Nabi Muhammad S.A.W.

Monday 21 May 2012

Peristiwa Penting dalam Bulan Rejab



Pengertian

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Peristiwa Penting

1) Hijrah Pertama ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

Sunday 15 April 2012

Jamadil Awwal : Tarbiyah dan Janji Allah !

Jamadil Awal merupakan bulan yang kelima daripada bulan-bulan Islam. Sebagaimana bulan-bulan yang lain Jamadil Awal juga mempunyai catatan sejarahnya tersendiri. Jamadil Awal memberi erti  permulaan musim sejuk. Dari segi bahasa, ia bermaksud kering atau beku. Bulan ini dinamakan sedemikian adalah kerana dalam bulan tersebut orang Arab pada zaman dahulu mengalami kekeringan air atau air menjadi beku. Pada ketika itu, parit, sumu, sungai dan lembah menjadi kering. 

Peristiwa Penting Bulan Jamadil Awwal : "Peperangan Mu'tah"

Pada bulan Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah telah berlaku peperangan Mu’tah di sebuah tempat yang bersempadan dengan Syam (karak). Peperangan ini berlaku disebabkan terjadinya pembunuhan terhadap utusan Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra di Syam iaitu Al-Harith Ibn Umair Al-A’zdi. Ini menimbulkan kemarahan orang-orang Islam dan mereka telah menyiapkan 3 ribu tentera muslimin untuk menyerang Syam. 

Bekas tapak peninggalan Perang Mu'tah 

Peperangan ini tidak disertai oleh Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu peperangan ini dinamakan sebagai Ghazwah dan kerana banyaknya bilangan anggota tentera. Sebelum tentera Muslimin bertolak ke Syam, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Amir kamu ialah Zaid bin Harithah. Jika Zaid gugur, maka Jaa’far akan menggantikannya. Jika Jaa’far gugur, Abdullah bin Rawahah akan menggantikannya, jika Abdullah gugur maka hendaklah kamu pilih orang yang kamu suka untuk menjadi ketua kamu ”.
Rasulullah juga telah berpesan kepada tentera Muslimin, agar mereka menyeru terlebih dahulu orang Mu’tah kepada Islam. Sekiranya mereka enggan pohonlah pertolongan daripada Allah SWT dan perangilah mereka. Dalam pesanan Rasulullah ini, menunjukkan betapa Islam amat mementingkan adab dan akhlak sekalipun dalam peperangan. Berbeza dengan dunia para hari ini yang telah terpengaruh dengan sistem thagut sebagai contoh ketika Perang Dunia yang mana matinya jutaan manusia di Hiroshima dan Nagasaki. Ini jelas menunjukkan betapa zalimnya sistem kufur pada hari ini.

Ketika tentera muslimin mula bergerak dari Madinah menuju ke Syam, pihak musuh telah mendapat tahu akan ketibaan mereka. Lalu mereka mengumpulkan bala tentera yang ramai, Hiracla (ada yang mengatakan namanya Hercules) telah menghantar lebih daripada 100 ribu bala tentera yang terdiri daripada orang-orang Rom. Manakala Sharhabil telah mengumpul 100 ribu tentera yang terdiri daripada Qabilah Lukhan, Jazan, Al-Qari dan Bahra. Melihat kepada bilangan tentera musuh yang melebihi 200 ribu orang ini, tentera Muslim telah berhenti di Mu'an (satu daerah di Syam) selama dua malam sambil memikirkan apakah perancangan yang seharusnya dilakukan untuk menghadapi seluruh tentera musuh ini.

Ada di antara mereka berkata “Eloklah kita menulis surat kepada Rasulullah s.a.w memberitahu bilangan tentera musuh yang begitu ramai ini”. Tetapi Abdullah Ibn Rawahah berkeras dan memberikan semangat kepada tentera muslimin supaya terus berjuang dengan berkata “Wahai orang-orang Muslim! Demi Allah SWT apakah yang ditakutkan? Untuk apa kita keluar? Tidakkah dengan tujuan syahid? Kita berperang bukan kerana berdasarkan bilangan yang ramai dan bukan dengan kekuatan, tetapi kita berperang kerana menegakkan kalimah Allah, dengan kita mendapatkan kemuliaan daripada Allah SWT. Ayuh! Maju ke hadapan. Satu daripada dua kejayaan sudah pastikan tercapai, menang atau syahid di jalan Allah”.

Tuesday 20 March 2012

Hargai Nikmat Masa Lapang !

Salam, Warkah Mahasiswa dan Mahasiswi KUIS, hargai nikmat masa lapang anda ! ^_^


Masa adalah salah sangat penting dalam kehidupan manusia. Masa yang telah lepas tidak boleh diundur kembali. Manusia akan didatangi oleh masa sibuk dan juga masa lapang. Apabila datangnya masa sibuk barulah seseorang itu akan merindui nikmat masa lapang. Ia bergantung kepada diri kita bagaimana kita menggunakan masa lapang dalam kehidupan kita supaya ia boleh memberi manfaat kepada diri. Jika kita mensia-siakan masa lapang yang ada dengan perkara yang tidak berfaedah, ia boleh merugikan diri kita sendiri.

Dalam artikel ini, akan lebih fokuskan kepada kehidupan pelajar kerana kita masih lagi sedang belajar dan sebagai seorang pelajar, kita akan berhadapan dengan masa sibuk seperti menghadiri kelas, melakukan tugasan, menyiapkan projek, ujian dan peperiksaan serta banyak lagi. Cuti pula adalah nikmat masa lapang yang sangat disukai oleh seorang pelajar. Ini kerana kita akan dapat berehat seketika dari kepenatan dan stress belajar.

Hargai Masa Yang Ada

Kita perlulah bijak menghargai setiap masa yang ada dalam hidup kita. Apabila berada di masa lapang kita perlu sentiasa ingat yang masa lapang ini tidak akan kekal lama. Jika kita tidak pandai menghargai masa lapang yang datang, nanti kita juga yang akan menyesal bila datangnya masa sibuk. Cuba renungkan kembali masa yang telah kita gunakan dalam kehidupan seharian. Bagaimanakah cara kita menghabiskan waktu cuti? Adakah kita seorang yang pandai menghargai masa ataupun tidak? Hanya diri kita sendiri yang mampu menilainya.


Melakukan Perkara Bermanfaat

Pemuda dan Masa Lapang

Salam,

“Buat apa waktu cuti musim sejuk ni?” tanya saya pada seorang rakan sebagai pembuka bicara ketika kami bertemu di masjid selepas solat Jumaat tempoh hari.
“Oh, tak buat apa sangat. Main games, tengok movies, tengok world cupRelease tension sikit. Baru habis exam minggu lepas. Nak berjalan sejuk, duit pun kering. Kalau rajin sikit nanti nak cari kerja.”
“Banyak tu masa kosong. Nanti ada program, datanglah ye.” jawab saya sambil ketawa kecil.
“Boleh insyaAllah. Inform nanti ye. Kalau tak sibuk saya datang.” jawabnya sambil tersenyum.

Sibuk dan tiada masa
Sibuk, atau busy? Dua perkataan yang sering keluar dari mulut seorang pemuda masa kini. Sibuk dengan urusan apa? Majoriti jawapan apabila berada di alam mahasiswa, sejak di kolej sehingga ke universiti kini, antara sebab yang sering didengar:

Kerja terlalu banyak !

Di awal tahun sibuk dengan urusan settle down dan menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan-rakan. Di pertengahan tahun, sibuk dengan pelajaran, assignments dan peperiksaan. Di hujung tahun pula sibuk mengemas rumah dan mengira baki di bank untuk berjalan. Di waktu cuti pula sibuk dengan urusan-urusan seperti gamesmovies dan tv.


Bila agaknya masa kita sibuk dengan urusan agama?
Urusan untuk diri dan umat buat bekalan di hari muka?
Urusan pembinaan diri sendiri yang bukan diatur orang lain untuk kita?
Urusan mengisi ruh dengan makanan ilahi, menguatkan hati dengan iman?
Apa mahu tunggu urusan gamesmovies dan tv yang diatur musuh islam selesai sebelum urusan diri?

Monday 20 February 2012

Tips Persediaan Menghadapi Peperiksaan



اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّينَ وَحِفْظَ المُرْسَلِينَ وإلْهَامَ المَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِينَ فِي عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ


“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul, serta ilham daripada para Malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”

1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan. Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua. Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.


Puasa Hari-Hari Putih



Pernahkah anda mendengar puasa dihari-hari putih? Yang dimaksudkan dengan hari putih (Ayyaumul Baidh) ialah 13, 14, dan 15 haribulan pada tahun hijrah. Puasa ini adalah disunnatkan bagi yang mahu. Puasa ini bagaikan puasa sepanjang tahun. Sebagaimana Sabda Nabi s.a.w yang Sahih riwayat Imam an-Nasa-i, Ibn Hibban, Baihaqi dan lain-lain.


أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ قَالَ هِيَ كَصُومُ الدَّهرِ

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. menyuruh kami berpuasa dari tiap-tiap bulan tiga hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan dan beliau bersabda: Dia adalah bagaikan puasa sepanjang tahun. [Hadis riwayat An-Nasai (1/328-329), Ibn Hibban (943), Baihaqi dalam Sunannya (4/294) dan Ahmad (5/152 dan 177)]


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُفْطِرُ أَيَّامَ الْبِيضِ فِي حَضَرٍ وَلَا سَفَرٍ

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. tidak berbuka pada hari-hari putih semasa di rumah (tidak musafir) dan tidak juga dalam safar. [Hadis riwayat An-Nasai dalam Sunannya (1/321), Disahihkan oleh Al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah (2/120)]