i December 2019 ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Melangkah Bersama Islam

Kelab Al-Azhar Members KUIS (ALAM KUIS) merupakan sebuah persatuan mahasiswa bernaung di bawah Masjid Al-Azhar KUIS.

Pemangkin Generasi Intelektual

NISA Al-Azhar Members KUIS merupakan sayap siswi bagi Kelab Al-Azhar Members KUIS.

Ahlan Ya Ramadhan !

Jadikan Ramadhan tahun ini platform anda tqarrub pada Allah!

Monday 2 December 2019

THE CAPITULATION OF GRANADA 1492: MIMPI NGERI UMAT ISLAM DI ANDALUSIA


THE CAPITULATION OF GRANADA 1492: MIMPI NGERI UMAT ISLAM DI ANDALUSIA
Oleh: Muhammad Syahmi Moktar


Adalah menjadi sesuatu perkara yang menyedihkan dan memalukan apabila mengimbau kembali zaman kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia (Sepanyol) meskipun terdapat beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh umat Islam ketika itu. Seharusnya umat Islam pada hari ini mempelajari sesuatu dari sejarah agar tidak jatuh ke 'lubang' (kegagalan) yang sama. 

Kejayaan Islam membuka kota Andalusia di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad yang memimpin tentera Islam pada 711M sehingga kerajaan terakhir kerajaan Nisriyyah atau Bani Ahmar pada 1492M yang menguasai wilayah terakhir iaitu Granada (1232M - 1492M). 

Walaupun di Andalusia mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, namun pada awalnya pemerintahan Islam berjaya mengukuhkan kawalan dan menjaga hak-hak asasi mereka. Beberapa plot kejayaan telah dicapai seperti pembinaan masjid Cordova 784M semasa pemerintahan Abdul Rahman I dan penubuhan Universiti Cordova semasa pemerintahan Abdul Rahman III yang lebih dikenali sebagai pusat kecemerlangan ilmu ketika itu. 

Menurut Ibn Khaldun, sesebuah tamadun ghalibnya akan mengalami beberapa fasa iaitu kelahiran, perkembangan dan kemerosotan tamadun. Namun, para sarjana yang lain pula berpendapat kemerosotan sesebuah tamadun boleh dielakkan sekiranya mereka belajar daripada sejarah dengan mengekalkan nilai-nilai yang baik. Begitulah juga apa yang berlaku di bumi Andalusia di mana wujudnya bibit-bibit keruntuhan selepas pemerintahan khalifah al-Mustanasar Billah sekitar 961M hingga 976M. Di sana wujudnya kepimpinan yang lemah dengan berpecahnya kerajaan-kerajaan serta wilayah-wilayah kecil yang turut dikenali sebagai Mulukul al-Tawa'if. 

Lebih 20 kerajaan kecil berpecah dan masing-masing mengaku lebih berdaulat, berkuasa dan 'claim' gelaran khalifah dalam pemerintahan mereka. Perebutan kuasa yang berlaku diambil peluang oleh kerajaan-kerajaan Kristian untuk menguasai kembali wilayah yang telah ditakluk oleh Islam. Apa yang lebih menyedihkan, ada di antara raja-raja di wilayah meminta pertolongan kepada pihak Kristian di utara untuk mengalahkan lawan sebangsanya. 

Kelemahan umat Islam dalam mempertahankan pemerintahan Islam berada di kemuncak akhir ketika pemerintahan Bani al-Ahmar yang menguasai Granada. Ketika itu, berlaku pergolakan dan perebutan kuasa antara anak beranak sehingga sanggup bekerjasama dengan Raja Ferdinand untuk mengembalikan takhta pemerintahan dengan syarat menyerahkan wilayah Granada.

Pada tahun 1482, berlaku peperangan antara kerajaan Islam Sepanyol dan Ratu Isabella yang memimpin pasukan tentera Kristian yang memakan masa selama 10 tahun. Akhirnya, Sultan Abu Abdullah memutuskan untuk memeterai satu perjanjian dengan Ratu Isabella dan Raja Ferdinand yang dikenali sebagai "The Capitulation of Granada" (Penyerahan Wilayah Granada) bagi menyelamatkan umat Islam di wilayah tersebut. 

Antara kandungan penting dalam perjanjian ini adalah menjamin keselamatan orang Islam untuk tinggal di dalam dan luar Sepanyol. Malangnya, pihak Kristian tidak menghormati perjanjian dan akhirnya berlaku pemberontakan dari umat Islam. Pemberontakan ini berjaya ditumpaskan dan diberi pilihan samaada murtad dari Islam atau dihalau dalam keadaan tanpa membawa apa-apa harta.

Hari ini, umat Islam seharusnya menyedari musibah yang menimpa masa lalu tidaklah selamanya berterusan, sekiranya segera mengambil iktibar bagi menggerakkan perubahan yang lebih tersusun dengan memahami implikasi tindakan yang dilakukan. Firman Allah:

... إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ ..

 Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. 
(Surah Ar-Ra'd: 11)

Begitu juga bahaya memberi wala' secara total dan menjadikan mereka sebagai 'wali' selain Allah dan Rasul seperti yang diterangkan dalam artikel sebelum ini. Rujuk link ini:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1870009936477245&id=217354058409516

Krisis perebutan kuasa sehingga menggadaikan prinsip dan maruah Islam adalah suatu perkara yang perlu diberi perhatian. Tanpa sedar, ada yang terjebak dengan kaedah Machiavelli yang kotor iaitu menghalalkan apa jua cara demi mencapai matlamat tanpa dibataskan dengan dosa dan pahala. Ingatlah, Baginda SAW pernah berwasiat dalam khutbah Haji Wada': 

لا ترجعوا بعدي كفارا يضرب بعضكم رقاب بعض

"Janganlah kamu berbalik menyeleweng sehingga menjadi kufur selepas aku wafat sehingga leher sesama kamu"

Kita juga dituntut untuk hidup menurut lunas-lunas Islam dengan mengetahui hakikat Islam melalui bertafaqquh dan mendalami ilmu-ilmu agama agar hidup lebih terarah. 

Bahkan, Dr. Fathi Yakan dalam kitabnya  ماذا يعني إنتمائي للإسلام menyarankan seseorang Muslim itu perlu juga mengetahui dan mengenali hakikat kejahilan dengan meneliti ciri-ciri pemikiran jahiliyyah, aliran-aliran dan perancangannya. Dalam menyingkap akibat buruk darinya, dapatlah seseorang Muslim itu menghindarkan diri mereka dari terperangkap dalam kancah kejahilan biarpun mulut mengimani akan Islam.

Semoga Allah sentiasa memelihara kita dari kesesatan dan penyelewengan dari Islam secara sedar atau tidak sedar. Firman Allah:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّٗا شَيَٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِي بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٖ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا يَفۡتَرُونَ

Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
(Surah Al-An'am: 112)

Rujukan:

[1]  Abdullah bin Basmeh, Tafsiran Al-Quran Pimpinan Ar-Rahman

[2] Mohd Roslan Mohd Nor, Sejarah Perkembangan dan Kejatuhan Pemerintahan Islam di Andalusia: Teladan dan Sempadan

[3] Ibn Khaldun, Abdul Rahman, 1995, Mukadimah Ibn Khaldun (terj.)

[4] Dr Pamela D. Toler, The History Of All Of Us Mankind

[5] Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam

"MELANGKAH BERSAMA ISLAM"

MUHAMMAD SYAHMI BIN MOKTAR
TIMBALAN PRESIDEN 1
KELAB AL-AZHAR MEMBERS KUIS