i 2019 ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Melangkah Bersama Islam

Kelab Al-Azhar Members KUIS (ALAM KUIS) merupakan sebuah persatuan mahasiswa bernaung di bawah Masjid Al-Azhar KUIS.

Pemangkin Generasi Intelektual

NISA Al-Azhar Members KUIS merupakan sayap siswi bagi Kelab Al-Azhar Members KUIS.

Ahlan Ya Ramadhan !

Jadikan Ramadhan tahun ini platform anda tqarrub pada Allah!

Monday 2 December 2019

THE CAPITULATION OF GRANADA 1492: MIMPI NGERI UMAT ISLAM DI ANDALUSIA


THE CAPITULATION OF GRANADA 1492: MIMPI NGERI UMAT ISLAM DI ANDALUSIA
Oleh: Muhammad Syahmi Moktar


Adalah menjadi sesuatu perkara yang menyedihkan dan memalukan apabila mengimbau kembali zaman kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia (Sepanyol) meskipun terdapat beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh umat Islam ketika itu. Seharusnya umat Islam pada hari ini mempelajari sesuatu dari sejarah agar tidak jatuh ke 'lubang' (kegagalan) yang sama. 

Kejayaan Islam membuka kota Andalusia di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad yang memimpin tentera Islam pada 711M sehingga kerajaan terakhir kerajaan Nisriyyah atau Bani Ahmar pada 1492M yang menguasai wilayah terakhir iaitu Granada (1232M - 1492M). 

Walaupun di Andalusia mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, namun pada awalnya pemerintahan Islam berjaya mengukuhkan kawalan dan menjaga hak-hak asasi mereka. Beberapa plot kejayaan telah dicapai seperti pembinaan masjid Cordova 784M semasa pemerintahan Abdul Rahman I dan penubuhan Universiti Cordova semasa pemerintahan Abdul Rahman III yang lebih dikenali sebagai pusat kecemerlangan ilmu ketika itu. 

Menurut Ibn Khaldun, sesebuah tamadun ghalibnya akan mengalami beberapa fasa iaitu kelahiran, perkembangan dan kemerosotan tamadun. Namun, para sarjana yang lain pula berpendapat kemerosotan sesebuah tamadun boleh dielakkan sekiranya mereka belajar daripada sejarah dengan mengekalkan nilai-nilai yang baik. Begitulah juga apa yang berlaku di bumi Andalusia di mana wujudnya bibit-bibit keruntuhan selepas pemerintahan khalifah al-Mustanasar Billah sekitar 961M hingga 976M. Di sana wujudnya kepimpinan yang lemah dengan berpecahnya kerajaan-kerajaan serta wilayah-wilayah kecil yang turut dikenali sebagai Mulukul al-Tawa'if. 

Lebih 20 kerajaan kecil berpecah dan masing-masing mengaku lebih berdaulat, berkuasa dan 'claim' gelaran khalifah dalam pemerintahan mereka. Perebutan kuasa yang berlaku diambil peluang oleh kerajaan-kerajaan Kristian untuk menguasai kembali wilayah yang telah ditakluk oleh Islam. Apa yang lebih menyedihkan, ada di antara raja-raja di wilayah meminta pertolongan kepada pihak Kristian di utara untuk mengalahkan lawan sebangsanya. 

Kelemahan umat Islam dalam mempertahankan pemerintahan Islam berada di kemuncak akhir ketika pemerintahan Bani al-Ahmar yang menguasai Granada. Ketika itu, berlaku pergolakan dan perebutan kuasa antara anak beranak sehingga sanggup bekerjasama dengan Raja Ferdinand untuk mengembalikan takhta pemerintahan dengan syarat menyerahkan wilayah Granada.

Pada tahun 1482, berlaku peperangan antara kerajaan Islam Sepanyol dan Ratu Isabella yang memimpin pasukan tentera Kristian yang memakan masa selama 10 tahun. Akhirnya, Sultan Abu Abdullah memutuskan untuk memeterai satu perjanjian dengan Ratu Isabella dan Raja Ferdinand yang dikenali sebagai "The Capitulation of Granada" (Penyerahan Wilayah Granada) bagi menyelamatkan umat Islam di wilayah tersebut. 

Antara kandungan penting dalam perjanjian ini adalah menjamin keselamatan orang Islam untuk tinggal di dalam dan luar Sepanyol. Malangnya, pihak Kristian tidak menghormati perjanjian dan akhirnya berlaku pemberontakan dari umat Islam. Pemberontakan ini berjaya ditumpaskan dan diberi pilihan samaada murtad dari Islam atau dihalau dalam keadaan tanpa membawa apa-apa harta.

Hari ini, umat Islam seharusnya menyedari musibah yang menimpa masa lalu tidaklah selamanya berterusan, sekiranya segera mengambil iktibar bagi menggerakkan perubahan yang lebih tersusun dengan memahami implikasi tindakan yang dilakukan. Firman Allah:

... إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ ..

 Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. 
(Surah Ar-Ra'd: 11)

Begitu juga bahaya memberi wala' secara total dan menjadikan mereka sebagai 'wali' selain Allah dan Rasul seperti yang diterangkan dalam artikel sebelum ini. Rujuk link ini:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1870009936477245&id=217354058409516

Krisis perebutan kuasa sehingga menggadaikan prinsip dan maruah Islam adalah suatu perkara yang perlu diberi perhatian. Tanpa sedar, ada yang terjebak dengan kaedah Machiavelli yang kotor iaitu menghalalkan apa jua cara demi mencapai matlamat tanpa dibataskan dengan dosa dan pahala. Ingatlah, Baginda SAW pernah berwasiat dalam khutbah Haji Wada': 

لا ترجعوا بعدي كفارا يضرب بعضكم رقاب بعض

"Janganlah kamu berbalik menyeleweng sehingga menjadi kufur selepas aku wafat sehingga leher sesama kamu"

Kita juga dituntut untuk hidup menurut lunas-lunas Islam dengan mengetahui hakikat Islam melalui bertafaqquh dan mendalami ilmu-ilmu agama agar hidup lebih terarah. 

Bahkan, Dr. Fathi Yakan dalam kitabnya  ماذا يعني إنتمائي للإسلام menyarankan seseorang Muslim itu perlu juga mengetahui dan mengenali hakikat kejahilan dengan meneliti ciri-ciri pemikiran jahiliyyah, aliran-aliran dan perancangannya. Dalam menyingkap akibat buruk darinya, dapatlah seseorang Muslim itu menghindarkan diri mereka dari terperangkap dalam kancah kejahilan biarpun mulut mengimani akan Islam.

Semoga Allah sentiasa memelihara kita dari kesesatan dan penyelewengan dari Islam secara sedar atau tidak sedar. Firman Allah:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّٗا شَيَٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِي بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٖ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا يَفۡتَرُونَ

Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
(Surah Al-An'am: 112)

Rujukan:

[1]  Abdullah bin Basmeh, Tafsiran Al-Quran Pimpinan Ar-Rahman

[2] Mohd Roslan Mohd Nor, Sejarah Perkembangan dan Kejatuhan Pemerintahan Islam di Andalusia: Teladan dan Sempadan

[3] Ibn Khaldun, Abdul Rahman, 1995, Mukadimah Ibn Khaldun (terj.)

[4] Dr Pamela D. Toler, The History Of All Of Us Mankind

[5] Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam

"MELANGKAH BERSAMA ISLAM"

MUHAMMAD SYAHMI BIN MOKTAR
TIMBALAN PRESIDEN 1
KELAB AL-AZHAR MEMBERS KUIS

Saturday 2 November 2019

POLEMIK ZAKAT TERHADAP GOLONGAN NON-MUSLIM


[POLEMIK ZAKAT TERHADAP GOLONGAN NON-MUSLIM]
Oleh : Mohd Izzuddin bin Aziz

Terpanggil untuk merespon berkenaan statement yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberikan ucapan berkenaan zakat di Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam yang menjadi polemik, dan menimbulkan kekeliruan mengenai saranan beliau terhadap zakat perlu diperluaskan kepada non-muslim.

Apa yang saya ingin coretkan disini bukanlah untuk menafsir atau menta'wilkan apa yang dimaksudkan oleh beliau. Tetapi mengambil pendekatan dalam memberikan penerangan hasil daripada beberapa rujukan yang dibuat dalam memahami isu ini.

Perkara pertama kita perlu sedar dan menjadi asas kepada kita sebagai umat Islam ialaj tentang 8 golongan asnaf yang layak menerima zakat sepertimana yang digariskan dalam Al-Quran iaitu Fakir, Miskin, Amil, Muallaf, Riqab, Gharimin, Fi Sabilillah dan Ibnu Sabil.

(۞ إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلۡفُقَرَاۤءِ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱلۡعَـٰمِلِینَ عَلَیۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِی ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَـٰرِمِینَ وَفِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِۖ فَرِیضَةࣰ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِیمٌ حَكِیمࣱ)
[Surat At-Tawbah 60]

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Disini saya hanya fokuskan golongan Muallaf sahaja. Yakni terdapat beberapa bahagian yang perlu difahami daripada maksud Muallaf itu sendiri iaitu, Muallaf adalah seseorang yang baru memeluk Islam atau seseorang yang dijinakkan hatinya dalam kalangan mereka yang belum memeluk agama Islam atau yang perlu ditarik simpatinya kepada Islam atau diharap dapat membela orang Islam atau yang perlu diamankan kejahatannya terhadap orang Islam.
(rujukan : https://www.zakatselangor.com.my/agihan-zakat/info-agihan-2/)

Ini menunjukkan bahawa sebenarnya disitu terdapat pengagihan zakat kepada orang yang bukan atau lebih tepat lagi yang belum memeluk Islam dengan harapan dia akan memeluk agama Islam selain daripada pengagihan zakat kepada Muallaf yang baru memeluk Islam agar Islam nya bertambah baik dan imannya semakin mantap didalam hati.

Kesimpulannya,  pengagihan yang dilakukan tersebut mestilah diputuskan oleh "Ulil Amri"(pemerintah) dan perlu dilihat pengagihan yang diberi itu dapat menjinakkan golongan non-muslim untuk memeluk agama Islam bukanlah pengagihkan tersebut diberikan dengan sesuka hati kepada bukan Islam kerana zakat adalah hak mutlak orang Islam dan pengagihan tersebut mestilah pengagihan yang menguntungkan Islam.

Ini sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada Safwan Ibnu Umayyah sehingga beliau menjadikan Rasulullah SAW orang yang paling beliau sukai, padahal sebelumnya Rasulullah SAW adalah orang yang paling beliau benci.(rujukan: Tafsir Ibnu Katsir Surah Taubah: 60)

Namun, pengajarannya adalah sebagai umat Islam menjadi kewajipan dalam memahami dengan mendalam asas kefahaman Islam ini supaya ia menjadi satu bekalan yang kukuh dalam kehidupan seharian kita. Jika kefahaman asas ini gagal difahami, maka semakin sukarlah kita untuk menterjemahkan Islam sebagai Ad-din kepada masyarakat.

"MELANGKAH BERSAMA ISLAM"

MOHD IZZUDDIN BIN AZIZ

#islampenyelesaian
#islamadiluntuksemua

DEKLARASI BALFOUR 1917: LUKA YANG BELUM SEMBUH


DEKLARASI BALFOUR 1917: LUKA YANG BELUM SEMBUH
Oleh: Muhammad Syahmi Moktar

1. Siri penindasan dan kezaliman ke atas umat Islam di Palestin seringkali menjadi isu hangat dibicarakan sama ada di peringkat lokal mahupun meja rundingan antarabangsa. Biarpun negara-negara kuasa besar dunia khususnya Barat lantang dengan slogan berbentuk keadilan, penjagaan hak kemanusiaan dan ketelusan, namun mereka sendiri jugalah yang menjarah maruah umat Islam demi melangsungkan dasar kolonialisme mereka.

2. Perang Dunia Pertama (1914-1918) memperlihatkan kepada kita penglibatan Empayar Turki Uthmaniyyah dalam blok Central Empires yang terdiri daripada beberapa buah negara iaitu Jerman, Austria-Hungry, Bulgaria dengan blok Soviet Union yang terdiri daripada British, Perancis dan koloni-koloninya. Kekalahan dalam Perang Dunia Pertama ini telah membuka laluan kepada British untuk memulakan percaturan kuasa mereka terhadap Asia Barat termasuklah bumi Palestin. Tertubuhnya Pertubuhan Zionis Antarabangsa (1897) juga menjadi salah satu faktor dorongan dalam penubuhan negara haram Israel dalam resolusi yang dibuat pada persidangan pertama iaitu ' Establishment in Palestine of a National Home for the Jews '.

3. Allah telah mengingatkan kepada kita serangan yang tidak berputus dari musuh sebagaimana dalam firman-Nya:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ

Bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
(Surah Al-Baqarah: 120)

4. Belum selesai Perang Dunia Pertama, satu perjanjian rahsia telah dibuat (Perjanjian Sykes-Picot 1916) oleh Sir Mark Sykes dan Picot Georges mewakili British dan Perancis bagi memfaraidkan wilayah-wilayah Islam di mana Syria, Lubnan dan Cilicia (kini sebahagian daripada Turki) diletakkan di bawah kawalan Perancis, manakala sekitar Teluk Parsi, Jordan dan Palestin di bawah kawalan British.

5. Setahun kemudian, pada 2 November 1917, tercetusnya Deklarasi Balfour iaitu suatu penyataan rasmi antara Menteri Luar British, James Arthur Balfour dengan Lord Rothschild, pemimpin gerakan Zionis melalui kiriman surat yang ditulis oleh Balfour kepada Lord Rothschild. Surat ini memberi gambaran kepada kita bahawa sokongan British terhadap penubuhan Israel dan membuka pintu seluasnya kepada bangsa Yahudi untuk berhijrah ke bumi Palestin. Pada 24 Julai 1922, British telah diberi mandat dan pengisytiharan telah dibuat oleh The League of Nation bahawa rakyat Palestin tidak diiktiraf sebagai rakyat tetapi sebagai komuniti bukan-Yahudi serta diberi kuasa kepada bangsa Yahudi dalam pentadbiran di Palestin.

6. Implikasinya, pada 14 Mei 1948 negara haram Israel ditubuhkan dan secara rasminya diisytiharkan pada 15 Mei 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersekutu (United Nations Organization). Penubuhan ini turut dikenali sebagai Hari Nakbah (Hari Malapetaka Palestin). Deklarasi Balfour merupakan 'long-term planning' (pelan jangka masa panjang) yang mengambil masa 30 tahun bagi membina negara Israel secara rasmi.

7. Lebih menyedihkan lagi, bilamana berlaku Pemberontakan Arab 1916 yang diketuai oleh Sharif Hussein, Raja Wilayah Hijjaz terhadap kerajaan Khilafah Uthmaniyyah semasa era kemerosotan. Ketika itu, British mengambil ruang dan peluang meniupkan perpecahan sesama umat Islam ini dengan menjanjikan khilafah berpusat di Arab sehingga jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Malangnya, setelah berlaku episod gerakan penggulingan, Raja Abdul Aziz Ibnu Saud diangkat menjadi pemerintah baru, Sharif Hussein dan anak-anaknya dihalau dari Arab Saudi.

8. Mulianya Islam kerana asas mulia iaitu aqidah. Bukan kepentingan peribadi seperti jawatan, harta, pangkat dan sebagainya sehingga sanggup menggadaikan maruah Islam itu sendiri. Allah s.w.t Taala berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
(Surah Ali-Imran: 118)

Menurut Imam Ibnu Kathir, kalimah من دونكم (bukan dari kalangan kamu) bermaksud orang-orang bukan Islam.

Menurut Syeikh Said Hawa dalam Al- Asas di at-Tafsir menyebut: "Orang-orang seperti mereka hendaklah kita berhati-hati. Maka, janganlah kita mendedahkan rahsia kita kepada mereka, mendedahkan keburukan kita (masalah dalaman), menceritakan perancangan-perancangan kita, mesyuarat dengan masalah-masalah kita..".

9. Konflik yang berlaku ke atas bumi Palestin dan penindasan umat Islam di seluruh dunia seolah-olah tiada kesudahan dan tiada hujung pangkalnya. Justeru, umat Islam seharusnya cakna dan bersungguh-sungguh mengerahkan segala usaha serta ruang-ruang yang dapat membantu mengembalikan maruah dan hak milik umat Islam kembali. Usaha ini tidak dapat dicapai melainkan umat Islam bersatu dalam meningkatkan bantuan yang berterusan kepada mangsa dan memberi tekanan terhadap negara haram Israel.

2 November 2019 bersamaan 4 Rabi'ulawal 1441

Rujukan:

1. Tafsir Al-Quran Pimpinan Ar-Rahman

2. Tafsir Al-Quran, Ibnu Kathir

3. Al-Asas fi At-Tafsir, Syeikh Said Hawwa

4. Perang Dunia Pertama, Deklarasi Balfour dan Kesannya Terhadap Palestin (Ermy Aziati Rozaly dan Azmul Fahimi Kamaruzaman)

5. Penglibatan Liga Arab dalam Konflik Palestin-Israel (Mohd Roslan Mohd Nor)

6. https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-politik/iktibar-arab-spring-politik-matang-dan-sejahtera-119140%3famp=1

7. https://www.history.com/this-day-in-history/britain-and-france-conclude-sykes-picot-agreement

"MELANGKAH BERSAMA ISLAM"

MUHAMMAD SYAHMI BIN MOKTAR
TIMBALAN PRESIDEN 1
 KELAB AL-AZHAR MEMBERS KUIS

Tuesday 29 October 2019

MALAYSIA MEMBUKA KEDUTAAN UNTUK BUMI PALESTIN : ALAM MENYOKONG PENUH



1. Pada 26 Oktober 2019 Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa Malaysia akan membuka sebuah kedutaan untuk Palestin di Jordan  semasa berucap di hadapan pemimpin negara dan wakil bagi 120 buah negara daripada anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di sidang kemuncak ke-18 di Baku, Azerbaijan.

2. Tun Dr Mahathir menyatakan dengan tegas bahawa Malaysia sentiasa menyokong perjuangan Palestin dan mengecam terhadap apa yang berlaku kepada Palestin adalah tidak adil bagi sesebuah negara yang sah.

3. Justeru itu, dalam usaha membuka kedutaan untuk Palestin di Jordan ini, dapat menambah dan meneruskan lagi sokongan serta bantuan kepada rakyat di negara itu selain daripada hubungan diplomatik yang lebih kukuh.

4. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَ أَخَوَیۡكُمۡۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

[Surah Al-Hujurat: 10]

Bermaksud: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

5. Oleh itu, ALAM menyeru seluruh mahasiswa KUIS supaya menyokong penuh usaha kerajaan dalam memperjuangkan pembebasan bumi Palestin, serta membanteras kezaliman regim Israel keatas bumi Palestin.

"MELANGKAH BERSAMA ISLAM"

MUHAMMAD NIK AZIZ BIN SAIRAN
SETIAUSAHA
KELAB AL-AZHAR MEMBERS KUIS

Friday 15 March 2019

#PrayForNewZealand : Mahasiswa Mengecam Tindakan Militan dan Pelampau


MAHASISWA MENGECAM TINDAKAN MILITAN DAN PELAMPAU

Firman Allah S.W.T.:

 وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ 

“Dan berjihadlah kerana agama Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau (menceroboh); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”
(Surah Al-Baqarah: 190)

1. Hari ini pada 15 Mac 2019 bersamaan 8 Rejab telah berlaku tragedi menyayat hati ketika hendak melaksanakan solat Jumaat iaitu tembakan rambang di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood Christchurch dipercayai dilakukan oleh puak militan dan ekstrimis yang berani menyerang pusat-pusat Islam.

2. Sebilangan umat Islam yang berada di masjid tersebut terkorban akibat tembakan rambang yang dilakukan dan juga beberapa rakyat Malaysia yang dilaporkan turut terlibat dengan insiden ini.

3. Islam sangat menolak segala bentuk keganasan dan ekstrimis yang berlaku di dunia. Justeru itu, kami saff kepimpinan Kelab Al-Azhar Members mengecam sekeras-kerasnya tindakan puak pelampau dan ekstrimis yang zalim membunuh umat Islam ketika hendak melaksanakan solat Jumaat di New Zealand.

4. Takziah buat saudara kita yang terkorban. Moga Allah merahmati mereka dan dipermudahkan urusan umat Islam disana.

 “MELANGKAH BERSAMA ISLAM” 

MOHD IZZUDDIN BIN AZIZ
PRESIDEN KELAB AL-AZHAR MEMBERS KUIS

Friday 1 March 2019

Apa Kata Presiden : Isu Hina Nabi

[ISU HINA NABI]

Berkata Buya Hamka:
"Jika diam saat agamamu dihina, maka gantilah bajumu dengan kain kafan".

Bila engkau berdiam saat Rasulullah S.A.W dipersenda, maka tunggulah kemurkaan dari Allah.

Mari kita dengar Apa Kata Presiden ALAM berkaitan isu ini.


Tuesday 26 February 2019

Persediaan Program Ihya' Ramadhan 1440H



[ PERSEDIAAN PROGRAM IHYA' RAMADHAN 1440H ]

Alhamdulillah, malam tadi Saff Majlis Tertinggi & beberapa Exco Kelab Al-Azhar Members KUIS (ALAM) membuat pertemuan khas bersama Saff Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Matrikulasi KUIS (PERSIS).

Pertemuan tersebut membincangkan perancangan bagi Program Ihya’ Ramadhan dengan kerjasama PERSIS yang akan berlangsung pada bulan Ramadhan nanti.

InshaAllah, ALAM bersama persatuan di KUIS akan terus komited untuk sentiasa mengimarahkan Masjid Al-Azhar dengan aktiviti-aktiviti yang dirancang rapi bagi menyeru mahasiswa KUIS meraih redha Allah semaksima mungkin.

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 18:

“Sesungguhnya mereka yang layak mengimarahkan masjid itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka semoga mereka berada dalam golongan yang mendapat petunjuk”.

Diharapkan Masjid Al-Azhar bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah juga menjadi Pusat Ilmu buat seluruh warga KUIS.

"MELANGKAH BERSAMA ISLAM"

MUHAMMAD NIK AZIZ BIN SAIRAN
SETIAUSAHA KELAB AL-AZHAR MEMBERS

Sunday 24 February 2019

Konsert Blackpink Penyumbang Kepada Runtuhnya Moral Mahasiswa



[KONSERT BLACKPINK PENYUMBANG KEPADA RUNTUHNYA MORAL MAHASISWA]


  1. Barisan saff kepimpinan Kelab Al-Azhar Members (ALAM) membantah kumpulan nyanyian asal Korea, BLACKPINK yang tiba di Malaysia pada 23 Februari 2019, yang mengadakan konsert di Stadium Melawati, Shah Alam pada Sabtu dan Ahad.
  2. Kumpulan ini sangat dikenali dengan anggotanya yang terdiri daripada kalangan wanita yang berpakaian terlalu melampau dan menjolok mata. Bukan sekadar pemakaian bahkan tarian yang dipertontonkan adalah seolah-olah mencabar sesebuah negara Islam dan sekaligus menanam pengaruh yang tidak baik kepada rakyat Malaysia khususnya mahasiswa secara tidak langsung.
  3. Malaysia sebuah negara yang majoritinya penganut Islam, maka adalah tidak wajar sama sekali program nyanyian seperti itu diluluskan . Bukan sahaja masyarakat Melayu Islam akan merasa tidak selesa malah penduduk agama lain juga akan merasa perkara yang sama kerana perkara sedemikian akan merosakkan cara pemikiran anak muda pada zaman sekarang.
  4. Pihak penganjur boleh menentukan hiburan seperti apakah yang sesuai dipertontonkan. Dengan hiburan yang sangat melampau seperti ini, akan lagi mendatangkan kesan buruk kepada minda, sosial dan sikap generasi kita pada masa akan datang.
  5. Pihak yang berautoriti dalam memberikan keizinan serta permit juga perlu bertegas dengan garis panduan yang sewajarnya. Ia bagi memastikan Malaysia yang terkenal dengan imej kesopanan kalangan rakyatnya agar tidak dicemari dengan sesuatu yang tidak elok. 
“MELANGKAH BERSAMA ISLAM”

NUR ALI MUHAMMAD BIN MOHAMMAD HISHAM
EXCO BADAN DAKWAH DAN ROHANI (BADAR)
KELAB AL-AZHAR MEMBERS

Thursday 21 February 2019

Presiden ALAM : Tahniah di atas keputusan Pilihanraya Kampus KUIS 2019



[ TAHNIAH DI ATAS KEPUTUSAN PILIHANRAYA KAMPUS ]

1. Alhamdulillah, selesai sudah hari pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar KUIS sesi 2019/2020 yang berlangsung malam tadi. 

2. Tahniah diucapkan kepada kelapan-lapan anggota MPP yang telah berjaya menduduki kerusi Umum. Tahniah juga buat ketiga-tiga pemegang kerusi Fakulti FPPI dan seorang di FSTM. 

3. Berikut merupakan calon-calon yang telah memenangi kerusi Umum beserta jumlah undi yang diperoleh: 

  • U01 : Nurul Adibah binti Mohd Fazil (3030 undian)
  • U06 : Farah Farzana binti Adnan (2902 undian) 
  • U11 : Muhd Aiman Hakim bin Zaharudin (2899 undian) 
  • U05 : Mohamad Ramadhan Asyukri bin Mohd Zainol (2847 undian) 
  • U02 : Rabi’atul Adawiyah binti Mat Razali (2461 undian)
  • U08 : Muhammad Akmal Aiman bin Ahmad Sobri (2310 undian) 
  • U13 : Muhammad Hannan Zarif bin Hanif (2294 undian)
  • U07 : Hadi Haziq bin Riswan (2173 undian) 

Berikut pula merupakan senarai pemenang kerusi Fakulti 

  • FPPI04 : Siti Noor Hafifah binti Masnawir (944 undian) 
  • FPPI01 : Ameer Asyraf bin Rosidan (895 undian) 
  • FPPI03 : Muhammad Aiman Asyraf bin Aswari (889 undian) 
  • FSTM01 : Amalia binti Ahmad (210 undian) 
4. Tidak lupa, ucapan tahniah juga kepada mereka yang telah menang tanpa bertanding :


  • FSU : Putri Shah Adeila binti Alam Shah 
  • FP : Ahmad Haziq Syafiq bin Ahmad Azahari 
  • FPM : Ahmad Alif Haiqal bin Azman 
5. Kelab Al-Azhar Members KUIS dengan tangan terbuka bersedia bersama-sama mendukung kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar KUIS sesi 2019/2020 ke arah membina kampus barakah dengan persekitaran biah yang solehah, di samping bersama-sama memperkasa budaya ilmu serta terus berperanan dalam aktiviti menyeru kepada yang baik (amar makruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) di KUIS. 


"MELANGKAH BERSAMA ISLAM" 

MOHD IZZUDDIN BIN AZIZ
PRESIDEN KELAB AL-AZHAR MEMBERS KUIS

Wednesday 20 February 2019

Seruan Presiden ALAM Kepada Seluruh Mahasiswa KUIS Turun Mengundi



SERUAN PRESIDEN ALAM KEPADA SELURUH MAHASISWA KUIS TURUN MENGUNDI

1. Firman Allah :

 الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah Al-Hajj: 41)

2. Ayat ini menekankan aspek ruhiyyah kepada seorang pemimpin yang beriman kepada Allah, yang mana perlunya seseorang pemimpin yang dilantik itu mempunyai hubungan dengan Allah dengan cara mendirikan solat, menunaikan zakat, serta mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar.

3. Aspek kepimpinan atau disebut sebagai siyasah syar'iyyah amat dititikberatkan dalam Islam. Imam Mawardi berkata: الإمامة موضوعة لخلافة النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا به Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.”

4. Tempoh berkempen pilihan raya KUIS telah tamat, kini tiba masanya iaitu satu proses pemilihan pemimpin kalangan mahasiswa yang mewakili suara-suara mahasiswa. Justeru tidak dapat tidak, pengundian adalah perkara yang wajib ditunaikan bagi melantik kepimpinan dikalangan mahasiswa. Ini selaras dengan kaedah:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

_Maksudnya: Perkara yang tidak sempurna satu kewajipan melainkan dengan perkara tersebut maka perkara tersebut adalah wajib._

5. Oleh itu, tanggungjawab memilih pemimpin menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai mahasiswa kampus dalam menentukan hala tuju yang akan dibawa oleh pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar yang akan dipilih.

6. Justeru, saya mewakili seluruh saff kepimpinan Al-azhar Members (ALAM) mengajak seluruh mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor untuk turun mengundi sebagai langkah awal kesedaran politik kampus dan melunaskan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa.

“MELANGKAH BERSAMA ISLAM” 

MOHD IZZUDDIN BIN AZIZ
PRESIDEN, KELAB AL-AZHAR MEMBERS (ALAM).

Tuesday 19 February 2019

Hebahan: Majlis Solat Hajat Perdana dan Amanat Rektor Sempena Minggu Peperiksaan



[ MAJLIS SOLAT HAJAT PERDANA DAN AMANAT REKTOR ]

KELAB AL-AZHAR MEMBERS (ALAM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang (PMFSU) dan Persatuan Mahasiswa Pendidikan (PERMAPEN) akan mengadakan Majlis Solat Hajat Perdana & Amanat Rektor Sempena Minggu Peperiksaan.

Berikut merupakan butiran program:
Tarikh : 20 Februari 2019 (Rabu)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Masjid Al-Azhar, KUIS.
Cop Mentoring dan makanan ringan disediakan.

Ayuh bersama kami dan mengimarahkan masjid. Semoga apa yang diusahakan mendapat ganjaran oleh Allah SWT.

“MELANGKAH BERSAMA ISLAM”

Monday 18 February 2019

Tahniah Mahasiswa KUIS Johan Qari Melaka



[TAHNIAH MAHASISWA KUIS JOHAN QARI MELAKA]

1. Tahniah diucapkan kepada Mohd Khairi bin Maidin dan Siti Syahirah binti Isa yang telah diumumkan johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Melaka Tahun 1440H/ 2019M di Auditorium Masjid Al-Azim Melaka pada 17 Febuari 2019.

2. Mohd Khairi Maidin merupakan pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Fakulti Pengajian Dan Peradaban Islam semester 2 dan juga salah seorang aktivis ALAM di bawah Lajnah Imarah Masjid.

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

 Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surat Yunus: 57)

3. Semoga dengan kejayaan ini menjadi pemangkin kepada anak remaja, muda mudi dan masyarakat seluruhnya mengambil berat kepentingan belajar, mengajar, memahami, menghayati, mencintai dan mengamalkan Al-Quran. Sesungguhnya beruntunglah umat Islam yang sentiasa belajar dan mengajar serta mengamalkan Al-Quran.

"MELANGKAH BERSAMA ISLAM"

LAJNAH PENERANGAN DAN MULTIMEDIA
KELAB AL-AZHAR MEMBERS

Tuesday 5 February 2019

Melangkah Bersama Islam - Ucapan Dasar Presiden ALAM 2019


UCAPAN PRESIDEN ALAM 2019

 بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.إن الحمد لله نحمده ونستغفره ونتوب إليه، ونعوذ من شرور أنفسنا، ومن سيئات اعمالنا، من يهده الله فلا مضل له، ومن يضل هادي له، أشد ألا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا محمدنا عبده ورسوله. اللهم سيدنا ونبينا ومولنا محمد ابن عبد الله امام المتقين وقائد الدعاة المجاهدين، وعلى آله وأصحابه والتابعين وتابعيهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد


Yang Dihormati Tuan Pengerusi Tetap,
Yang Dikasihi Dr Saifullah bin Samsudin selaku Nazir Masjid Al-Azhar KUIS,
Seluruh pimpinan ALAM KUIS sesi 2019,
Mantan pimpinan ALAM KUIS sesi 2018,
wakil-wakil persatuan-persatuan mahasiswa KUIS yang hadir,
muktamirin dan muktamirat, serta pemerhati-pemerhati muktamar yang dirahmati Allah s.w.t 

1. Saya ucapkan ahlan wasahlan wamarhaban bikum, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua rakan-rakan seperjuangan serta kepada tetamu yang hadir ke Muktamar ALAM pada tahun ini. Marilah dengan penuh pengharapan kita memohon kepada Allah SWT akan keberkatan dan fadilat, serta pahala yang berlipat ganda daripada kelebihan ribat fisabilillah, kerana keyakinan terhadap dasar dan matlamat perjuangan kita.

“Melangkah Bersama Islam” 

2. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 30:

 َوِإْذَ قاَلَ رُّبَكِ لْلَمَلاِئَكِةِ إِّنيَ جاِعٌلِ في اْلَأْرِضَ خِليَفًة َۖ قاُلواَ أَتْجَعُلِ فيَهاَ من ُيْفِسُدِ فيَهاَ وَيْسِفُك الِّدَماَءَ وَنْحُنُ نَسِّبُحِ بَحْمِدَكَ وُنَقِّدُسَ لَك َۖقاَلِ إِّنيَ أْعَلُمَ ما َ لاَ تْعَلُموَن 

Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. 

Mahasiswa dan Mahasiswi sekalian,

3. Ayat ini menjelaskan akan kepentingan diciptakan manusia untuk memimpin bumi. Amanah ini diberikan oleh Allah kepada manusia dan tidak kepada makhluk lain kerana Allah Maha Mengetahui akan penciptaannya.

4. Perkara ini sangat berkait rapat dengan golongan muda terutamanya Mahasiswa yang merupakan mata rantai atau aset dalam menyambung risalah dakwah Nabi Muhammad SAW kepada seluruh pelusuk KUIS dan masyarakat. 

Mahahsiswa dan Mahasiswi sekalian,

5. Kelab Al-Azhar Members KUIS merupakan salah sebuah persatuan NGO yang mana ia dinaungi oleh Bahagian Pengurusan Mahasiswa di peringkat pengurusan pentadbiran KUIS. Di samping itu, Kelab Al-Azhar Members juga merupakan Biro Pemuda Masjid di bawah naungan Masjid Al-Azhar KUIS yang juga diperanankan sebagai agen dakwah kepada seluruh mahasiswa dan masyarakat KUIS supaya menjadikan Masjid Al-Azhar KUIS sebagai pusat utama bagi segala aktiviti. 

6. KUIS, memperkenalkan slogan Daie, Ulama dan Umara’ merupakan satu contoh kepada kampus lain bahkan meletakkan harapan kepada mahasiswa KUIS supaya mampu untuk menjadi contoh yang baik kepada masyarakat. Hal ini kerana KUIS mempunyai suasana yang baik dan budaya yang harmoni. Sebagai contoh, menjadikan masjid adalah tempat utama dalam penerapan dan penyebaran ilmu yang berada di tengah-tengah pusat pentadbiran KUIS bahkan meletakkan keutamaan kepada penerapan Bi’ah Solehah supaya dapat dikekalkan dan terus dipertingkatkan di peringkat Mahasiswa.

Mahahsiswa dan Mahasiswi sekalian,

7. Melihat kepada perkara tersebut, maka ia tidak lari daripada peranan mahasiswa itu sendiri dalam mengekalkan dan menjaga suasana yang baik dan Bi’ah Solehah ini. Berbalik kepada ibrah ayat penciptaan manusia sebagai khalifah yang saya bacakan pada permulaan tadi, iaitu tugas mahasiswa sebagai penuntut ilmu adalah satu perkara kewajipan yang tidak dapat disangkal dan perlu diseiringkan dengan tugas sebagai seorang mukmin sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104:

(وۡلَتُكنِّ منُكۡمُ أَّمٌ۬ةَ يۡدُعوَنِ إَلى ٱۡلَخۡيِرَ وَيۡأُمُروَنِ بٱۡلَمۡعُروِفَ وَيۡنَهۡوَنَ عِن ٱۡلُمنَك‌ِرۚ  َوُأْوَلٰٓـِٕٮَكُ هُم ٱۡلُمۡفِلُحوَن (١٠٤

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.”

8. Maka berdasarkan ayat ini, Kelab Al-Azhar Members KUIS selaku Biro Pemuda Masjid Al-Azhar KUIS bersama-sama BADAR mahupun seluruh entiti-entiti di bawah ALAM sedia memperluaskan hubungan dan kerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), JAKSA, dan mana-mana Persatuan-Persatuan Mahasiswa, Kelab-Kelab, serta Pentadbiran KUIS bagi menjalankan gerak kerja Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar di bumi KUIS ini.

9. Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallhu’anh tentang 7 golongan yang mendapat naungan ALLAH SWT di akhirat kelak antaranya ialah رجل معلق قلبه فى المساجد iaitu Pemuda yang hatinya selalu terpaut dengan masjid. 


Maka di sini, Kelab Al-Azhar Members KUIS selaku Biro Pemuda Masjid Al-Azhar KUIS menyediakan platform usrah, qiamullail di Masjid Al-Azhar dan Halaqah Iman dan pelbagai pengisian kerohanian lain yang bertujuan untuk menjadikan tunjang kekuatan bagi setiap amalan yang digerakkan di semua peringkat mahasiswa seiring dengan apa yang disebut dan diperintahkan oleh Allah SWT dan secara tidak langsung berazam untuk melahirkan mahasiswa yang mampu untuk menjadi contoh yang terbaik serta berkepimpinan menepati ciri Daie,Ulama dan Umara’. 

10. Peranan mahasiswi juga merupakan satu peranan yang sangat besar untuk dijadikan sebagai agen perubahan. Terutamanya zaman yang penuh dengan media sosial dan pergaulan yang membimbangkan. Justeru melalui sayap mahasiswi kita, NISA’Al-Azhar Members KUIS begitu komited bagi menyediakan medan dan ruang untuk seluruh mahasiswi terutamanya di KUIS untuk berpencak dan menyebarkan dakwah kepada masyarakat. 

Sidang Muktamirin sekalian,

11. Pilihanraya Kampus merupakan sebuah proses demokrasi yang perlu dijalani oleh warga kampus, termasuklah di KUIS. Memahami suasana budaya politik di KUIS masih perlu ditambah baik, maka di kesempatan ini, kami Kelab Al-Azhar Members KUIS ingin menegaskan kepada seluruh mahasiswa supaya menyedari bahawa mahasiswa KUIS mempunyai peranan yang besar dalam aspek kepimpinan Islam sekaligus menjadi penyumbang kepada kemajuan dan keharmonian negara.

Dengan itu, mahasiswa KUIS harus menunaikan tanggungjawab pada Pilihanraya Kampus KUIS yang akan berlaku tidak lama lagi. 

Seterusnya, Kelab Al-Azhar Members juga mempunyai sebuah kumpulan media bagi menghidupkan budaya pendidikan politik yang damai dan toleransi di bumi KUIS, yang diberi nama KUIS Campus E-News. KUIS Campus E-News ini akan bergerak dengan membuat liputan khas berkenaan perjalanan Pilihanraya Kampus KUIS dan menyampaikannya menerusi laman Facebook rasmi mereka.

Sidang Muktamirin sekalian,

12. Dalam mewujudkan satu suasana yang baik di kalangan mahasiswa, perlunya kepada penerapan nilai-nilai ajaran Islam yang bertepatan dengan syariat Allah SWT bukan hanya mengikut kehendak nafsu demi memenangkan hati manusia tanpa menghiraukan keredhaan daripada Allah SWT. Oleh kerana itu, Kelab Al-Azhar Members begitu komited dalam meneruskan usaha-usaha dakwah bagi mengekalkan Biah Solehah di KUIS ini, kami akan terus membawa Kempen Biah Solehah (KBS) bagi menerapkan nilai-nilai Islam dalam kalangan mahasiswa supaya terwujud di dalamnya suasana yang baik, suasana yang diredhai oleh AllahSWT. 

13. Sebagai pengakhiran ucapan saya pada malam ini, suka saya membacakan sepotong ayat daripada firman Allah SWT di dalam Al-Quran dalam surah Ali Imran:


 يۡؤِمُنوَنِ بٱلَّلِهَ وٱۡلَيۡوِم ٱۡلَأِخِرَ وَيۡأُمُروَنِ بٱۡلَمۡعُروِفَ وَيۡنَهۡوَنَ عِن ٱۡلُمنَكِر َوُيَسٰـِرُعوَنِ فى ٱۡلَخۡيَرٲِتَ وُأْوَلٰٓـِٕٮَكِ مَن ٱلَّصٰلِحيَن  

“Mereka beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang kepada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang yang soleh.”

Akhirnya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengerusi Tetap, Pengarah dan Jawatankuasa Muktamar, semua Pimpinan, semua tetamu yang hadir serta semua pihak yang menjayakan muktamar pada kali ini.  Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala disisi Allah SWT.

سيرواعلى بركة الله وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وسلم وآخر .دعوانا أن االحمدلله رب العالمين