i Final Exam : Manfaat Keilmuan Membina Generasi. ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Saturday 28 September 2013

Final Exam : Manfaat Keilmuan Membina Generasi.




Peperiksaan akhir yang akan dilalui oleh seluruh mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) minggu hadapan pastinya mengundang suasana persediaan yang cukup rapi dalam 'pertempuran' tersebut. Disitulah medan untuk dibuktikan sejauhmana kita benar-benar dapat membenam serta mencurahkan seluruh keilmuan yang diperolehi tika sesi pembelajaran ke dalam hati dan ingatan.

Kelab Al-Azhar Members (ALAM) KUIS suka untuk mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk bersama kita memastikan bahawa medan peperiksaan yang akn ditempuhi nanti bukanlah garis penamatnya. Akan tetapi, disitulah sebagai langkah permulaan dalam memastikan kita adalah generasi pewaris keilmuan Islam. Kita tidak hanya menjadi manusia robot yang akhirnya hanya tersenyum megah menaiki pentas menerima anugerah kecemerlangan, bahkan kita perlu memastikan disamping kilauan kecemerlangan itu juga tersemat rapi sumbangan kita terhadap ummah.

Lihat sahaja bagaimana era kegemilangan sarjana keilmuan Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rush, Al-Farabi, Imam Ghazali dan yang seangkatan dengan mereka hingga buku dan tulisan mereka menjadi rujukan seluruh dunia mengatasi sempadan agama dan bangsa. Rahsianya ialah penggabungan Ilmu Dunia dan Ilmu Akhirat sekaligus. Itulah jiwa dan pemikiran yang ingin kita capai bersama, profesional ulama atau ulama profesional. Itulah impian manusia kelahiran KUIS.

Namun, sampai bila bibir ini ingin melafazkan kalimah kebanggaan kepada generasi terdahulu? , tibalah masanya kini untuk kita pula membentuk generasi seperti mereka itu bermula dengan diri sendiri seterusnya memimpin tangan rakan-rakan yang lain berlari menuju destinasi tersebut.

Ikhlaskan Niat hanya kerana Allah swt, pasakkan cita-cita kejayaan ini untuk dihadiahkn pada jalan Islam, seterusnya benamkan tekad memburu Redho dan Syurga Allah SWT. Makin diuji perit kesusahan,makin utuh pergantungan kita kepada Allah SWT.

Kitalah generasi yang seharusnya larut ditengah lapangan masyarakat berbekalkan roh Islam sebagai bahtera dalam menyelamatkan Umat manusia yang sedang kelemasan dipukul ombak kemungkaran.

Sabda Rasulullah SAW;
" Manusia yang sangat memperoleh azab pada hari kiamat kelak ialah yang berilmu tiada manfaat dengan ilmunya"
(Riwayat al-Tabrani)

Moga Allah SWT anugerahkan kejayaan buat kita dalam peperiksaan ini.
Bittaufik wannajah fil imtihan.

Oleh:
Muhamad Azli Firdaus Che Seman
Exco Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan
Kelab Al-Azhar Members (ALAM) KUIS
21 Zulkaedah 1434/28 September 2013

0 pandangan: