i RISALAH (2) : AMALAN-AMALAN DI BULAN RAMADHAN ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Sunday, 26 June 2016

RISALAH (2) : AMALAN-AMALAN DI BULAN RAMADHAN






Risalah (2)
AMALAN-AMALAN DI BULAN RAMADHAN

الحمد لله رب العلمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء
والمرسلين، نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد:

(شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَان)

Maksudnya: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil). [Al-Baqarah: 185]
Risalah ini sebagai satu tazkirah tentang beberapa kelebihan bulan Ramadan serta apakah amalan yang sepatutnya diisi sepanjang bulan mulia ini.
Semoga ia menjadi panduan dan pembangkit semangat untuk beramal dengan sebaik-baiknya. Allah telah menjadikan bulan Ramadan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya ialah:
·      Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah.
·      Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
·      Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadan.
·      Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadan.
·      Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.
·      Terdapat pada bulan ini Laialatul Qadar yang mana ia lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk membuat kebaikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan.
·      Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam terakhir daripada bulan Ramadan.
·      Pada setiap malam Ramadan tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka.

Di antara amalan yang wajib dan amalan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadan ialah;

1)      Berpuasa:
Sabda Rasulullah
(كل عمل ابن آدم يُضَاعَفُ، الحسنة عشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف، قال الله
 عزاوجل: إلا الصوم، فإنه لي وأنا أجزي به، يدع شهوته وطعامه من أجلي. للصائم
 فرحتان: فرحة عند فطره، وفرحة عند لقاء ربه. ولخلوف فيه أطيب عند الله
 من ريح المسك) [ مسلم:
Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700 kali ganda. Allah berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberi ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika hendak bertemu Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lenih harum daripada bau kasturi di sisi Allah.” [HR: Muslim dan Abu Hurairah 1151]
              
      Sabda Rasulullah :
(من صام رمضان إيمانا واحتسابا، غفرله ما تقدم من ذنبه) [منتق عليه]
                Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim]

                Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani. Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran, kesusahan dan sebagainya.

2)      Ramadan dan membaca al-Quran:
Nabi S.A.W menceritakan bahawa Jibril membacakannya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadan dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak 2 kali. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].
Para ulama’ bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 malam, sebahagian setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh 10 hari sekali. Mereka membacanya ketika di dalam solat dan juga di luar solat.
Imam asy-Syafie akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan dan beliau membacanya di luar solat.
Ibnu Rajab berkata: “Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari ialah bagi mereka yang menjadikannya sebagai satu amalan biasa yang berterusan. Adapun pada waktu-waktu yang terdapat keutamaan seperti pada bulan Ramadan, khususnya pada malam-malam yang dijangkakan Lailatul Qadar ataupun ketika berada di tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti di Makkah bagi orang-orang luar yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat”.

3)      Qiamullail
Bagi seseorang mu’min apabila berada pada bulan Ramadan akan berhadapan dengan dua jihad di dalam dirinya. Pertama jihad di siang hari berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiamullail. Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amat besar tidak terhingga.

 Sabda Rasulullah:
(من قام رمضان إيمانا واحتسابا، غفرله ما تقدم من ذنبه) [منتق عليه]
                Maksudnya: “Sesiapa yang bangun (solat)  pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim]. 

              Firman Allah:
وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا﴿﴾
 وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا﴿﴾
                Maksudnya: “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang-orang yang menghabiskan malam dengan bersujud dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka...”.  [Al-Furqan: 63-64]
              
          Qiamullail adalah kebiasaan Nabi dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. ‘Aisyah pernah berkata:
“Jangan kamu tinggalkan Qiamullail. Rasulullah tidak pernah meninggalkannya, dan apabila Baginda sakit atau kepenatan, Baginda solat sambil duduk.” [HR: Abu Daud].
                Khalifah Umar bin al-Khattab akan bersolat malam seberapa banyak, apabila sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat, sambil berkata:
“Solah, solah!” (bangun untuk bersolat).
                Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis di kalangan orang-orang yang Qiyam (orang yang berdiri solat).
                Abi Zar meriwayatkan Nabi bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka Nabi bersabda:
(إنه من قام مع الإمام حتى ينصرف، كتب له قيام ليلة) [الترمذي،صحيح]
                Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga dia (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman.” [HR: At-Tirmizi,sahih].

4)      Bersedekah
عن ابن عباس قال: (كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس، وكان أجود ما يكون
في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه
القرآن. فالرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة) [البخاري]
Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan... dan Baginda lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.” [HR: Al-Bukhari]

Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.

Sabda Nabi: 
                                           (اتقوا النار ولو بشق تمرة) [البخاري]
                Maksudnya: “Takutilah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar’. [HR: Al-Bukhari]
                Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadan kerana ia mengikuti jejak langkah Rasulullah, kerana ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka. Ini kerana manusia sibuk dengan puasa dan solat (ibadat) berbanding pekerjaan masing-masing”.
                Rasulullah telah ditanya, apakah sedekah yang paling afdhal? Sabdanya:
(صدقة في رمضان) [الترمذي، ضعفه الألباني]
                Maksudnya: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah dalam bulan Ramadan”. [HR: At-Tirmizi daif], ia mempunyai banyak cara dan cabangnya:

a.       Memberi makan:
Para ulama’ salaf sangat menitikberatkan amalan memberi makan dan mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain.
Ia sama ada dengan memberi makan orang yang kelaparan ataupun kawan-kawan yang soleh dan tidak disyaratkan hanya kepada orang fakir.
Rasulullah bersabda:
(إن في الجنة غرفا ترى ظهورها من بطونها، وبطونها من ظهورها). فقام
أعرابي فقال: لمن هي يا رسول الله؟ قال: (لمن أطاب الكلام، وأطعم الطعام، وأدام
الصيام، وصلى الله بالليل والناس نيام) [الترمذي حسنه الألباني]
Maksudnya: “Di dalam syurga terdapat bilik-bilik, nampak dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya”. Bangun seorang a’rabi (orang kampung) bertanya; Untuk siapakah bilik-bilik itu wahai Rasulullah? Sabda Nabi  “Bagi mereka yang baik percakapannya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah pada waktu malam tatkala orang lain sedang tidur”. [HR: At-Tirmizi, hasan].
Al-Hasan al-Basri dan Ibnu al Mubarak memberi makan para sahabatnya, sedangkan mereka sendiri berpuasa. Mereka duduk melayani dan berkhidmat kepada orang yang makan serta memenuhi keperluan mereka.
Hammad bin Sulaiman akan menghidangkan juadah berbuka puasa untuk 500 orang ketika Ramadan dan dia akan memberikan kepada setiap mereka 100 dirham di Hari Raya.
Ibadat memberi makan akan menjadi asas kepada banyak ibadat-ibadat lain, seperi rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan, dan ini akan menjadi salah satu sebab untuk masuk syurga, kerana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak masuk syurga seseorang itu sehingga ia beriman, dan tidak beriman sehingga ia saling mengasihi”. [HR: Al-Bukhari].

b.      Memberi makan (berbuka) oarang yang berpuasa:
Sabda Rasulullah
(من فطر صائما، كان له مثل أجره، غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا) [الترمذي، صحيح]
                Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ia tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikit pun”. [HR: At-Tirmizi, sahih]
                Sabda Rasulullah
(أيها الناس أفشوا السلام، وأطعموا الطعام، وصلوا والناس نيام،
تدخلوا الجنة بسلام) [أحمد والترمذي، صحيح]
                Maksudnya: “Wahai Manusia! Sebarlah salam, berilah orang makan dan solatlah malam ketika manusia tidur, pasti kamu akan masuk ke Syurga dengan sejahtera”. [HR: Ahmad, at-Tirmizi, sahih].
                Semua ini menunjukkan bahawa mengumpulkan antara puasa dah sedekah adalah lebih berkesan untuk menghapuskan dosa.
                Nabi bersabda:
(الصوم جنة، والصدقة تطفئ الخطيئة، كما يطفئ الماء النار، وصلاة
الرجل من جوف الليل) [الترمذي وابن ماجه، صحيح]
                Maksudnya: “Puasa adalah perisai. Sedekah akan memadamkan kesalahan seperi air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun di pertengahan malam”. [HR: Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah, sahih].

5)      Menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta.
Sabda Rasulullah
(من لم يدع قول الزوز والعمل به، فليس لله حاجة
في أن يدع طعامه وشرابه) [البخاري]
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa)”. [HR: Al-Bukhari]
Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada pembohongan dan kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah sebagaimana seseorang itu menahan diri daripada makan dan minum. Sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka berkuranglah pahalanya dan dia terdedah kepada kemurkaan Tuahnnya.
Sabda Rasulullah
(إذا أصبح أحدكم يوما صائما، فلا يرفث، ولا يجهل، فإن امرؤ شاتمه، أو قاتله
فليقل: إني صائم! إني صائم!)[مسلم]
Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafath (melakukan perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa”. [HR: Muslim]
Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga dari penipuan, kebatilan dan perkara yang sia-sia”.
Berkata Mujahid: “Dua perkara yang sesiapa meninggalkannya maka sempurnalah puasanya: Ghibah (mengumpat) dan menipu”. Abu al-‘Aliah pula berkata: “Orang yang berpuasa tetap ibadatnya selagi dia tidak melakukan Ghibah”.
Rahsia di sebalik larangan-larangan ini khususnya ketika sedang berpuasa ialah kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kerana Allah dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram. Ia adalah seumpama orang yang meninggalkan perkara-perkara fardu untuk melakukan perkara-perkara sunat, apakah faedahnya?

6)      Doa, Zikir dan Istighfar
Semua hari-hari Ramadan adalah waktu yang mulia, maka ambillah kesempatan ini dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:
·      Ketika hampir waktu berbuka. Nabi menyebutkan tiga doa yang tidak ditolak antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. [HR: At-Tirmizi, sahih]
·      Di sepertiga malam ketika Allah menyeru:
“Adakah ada orang yang berdoa, maka aku perkenankan, adakah orang yang memohon keampunan, maka Aku mengampunkannya”. [HR: Al-Bukhari& Muslim].
·      Memohon keampunan Allah S.W.T. ketika waktu sahur. Firman Allah:
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ﴿﴾
Maksudnya: “Dan ketika waktu sahur mereka memohon keampunan”. [Az-Zariyat: 18]
Jangan kita lupa juga terdapat ganjaran-ganjaran yang besar bagi orang yang berzikir. Terdapat banyak nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi yang sahih menjelaskan.

7)      Umrah pada bulan Ramadan
Sabda Rasulullah
(فإن عمرة في رمضان تقضي حجة، أو حجة معي) [البخاري ومسلم]
Maksudnya: “Satu umrah pada bulan Ramadan ganjarannya menyamai satu haji. Dalam riwayat yang lain; “Menyamai satu haji bersamaku”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

8)      Beriktikaf
Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadan ini, ialah digalakkan beriktikaf padanya.

9)      Lailatul Qadar
Di dalam Ramadan yang berkat ini Allah menghadiahkan kepada hamba-hambanya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadr.
[Dua kelebihan ini (8 & 9) akan dijelaskan dalam risalah yang kedua insyallah]
Penutup:
Sabda Rasulullah sewaktu menaiki mimbar di Madinah:
(رغم أنف عبد دخل عليه رمضان فلم يغفرله) [صحيح ابن خزيمة، السنن الكبرى للبيهقي]
Maksudnya: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya”. [HR: Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi]

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya.
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada yang lepas, dituliskan nama kita di antara hamba-hamba-Nya yang mendapat keampunan Tuhan dan selamat dari azab Neraka. Aamin.








Reaksi Pembaca:

0 pandangan: