i POLEMIK ZAKAT TERHADAP GOLONGAN NON-MUSLIM ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Saturday 2 November 2019

POLEMIK ZAKAT TERHADAP GOLONGAN NON-MUSLIM


[POLEMIK ZAKAT TERHADAP GOLONGAN NON-MUSLIM]
Oleh : Mohd Izzuddin bin Aziz

Terpanggil untuk merespon berkenaan statement yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberikan ucapan berkenaan zakat di Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam yang menjadi polemik, dan menimbulkan kekeliruan mengenai saranan beliau terhadap zakat perlu diperluaskan kepada non-muslim.

Apa yang saya ingin coretkan disini bukanlah untuk menafsir atau menta'wilkan apa yang dimaksudkan oleh beliau. Tetapi mengambil pendekatan dalam memberikan penerangan hasil daripada beberapa rujukan yang dibuat dalam memahami isu ini.

Perkara pertama kita perlu sedar dan menjadi asas kepada kita sebagai umat Islam ialaj tentang 8 golongan asnaf yang layak menerima zakat sepertimana yang digariskan dalam Al-Quran iaitu Fakir, Miskin, Amil, Muallaf, Riqab, Gharimin, Fi Sabilillah dan Ibnu Sabil.

(۞ إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلۡفُقَرَاۤءِ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱلۡعَـٰمِلِینَ عَلَیۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِی ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَـٰرِمِینَ وَفِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِۖ فَرِیضَةࣰ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِیمٌ حَكِیمࣱ)
[Surat At-Tawbah 60]

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Disini saya hanya fokuskan golongan Muallaf sahaja. Yakni terdapat beberapa bahagian yang perlu difahami daripada maksud Muallaf itu sendiri iaitu, Muallaf adalah seseorang yang baru memeluk Islam atau seseorang yang dijinakkan hatinya dalam kalangan mereka yang belum memeluk agama Islam atau yang perlu ditarik simpatinya kepada Islam atau diharap dapat membela orang Islam atau yang perlu diamankan kejahatannya terhadap orang Islam.
(rujukan : https://www.zakatselangor.com.my/agihan-zakat/info-agihan-2/)

Ini menunjukkan bahawa sebenarnya disitu terdapat pengagihan zakat kepada orang yang bukan atau lebih tepat lagi yang belum memeluk Islam dengan harapan dia akan memeluk agama Islam selain daripada pengagihan zakat kepada Muallaf yang baru memeluk Islam agar Islam nya bertambah baik dan imannya semakin mantap didalam hati.

Kesimpulannya,  pengagihan yang dilakukan tersebut mestilah diputuskan oleh "Ulil Amri"(pemerintah) dan perlu dilihat pengagihan yang diberi itu dapat menjinakkan golongan non-muslim untuk memeluk agama Islam bukanlah pengagihkan tersebut diberikan dengan sesuka hati kepada bukan Islam kerana zakat adalah hak mutlak orang Islam dan pengagihan tersebut mestilah pengagihan yang menguntungkan Islam.

Ini sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada Safwan Ibnu Umayyah sehingga beliau menjadikan Rasulullah SAW orang yang paling beliau sukai, padahal sebelumnya Rasulullah SAW adalah orang yang paling beliau benci.(rujukan: Tafsir Ibnu Katsir Surah Taubah: 60)

Namun, pengajarannya adalah sebagai umat Islam menjadi kewajipan dalam memahami dengan mendalam asas kefahaman Islam ini supaya ia menjadi satu bekalan yang kukuh dalam kehidupan seharian kita. Jika kefahaman asas ini gagal difahami, maka semakin sukarlah kita untuk menterjemahkan Islam sebagai Ad-din kepada masyarakat.

"MELANGKAH BERSAMA ISLAM"

MOHD IZZUDDIN BIN AZIZ

#islampenyelesaian
#islamadiluntuksemua

0 pandangan: