i Pendirian ALAM mengenai Isu Konsert K-Pop dalam Himpunan Jutaan Belia 2012 ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Wednesday 30 May 2012

Pendirian ALAM mengenai Isu Konsert K-Pop dalam Himpunan Jutaan Belia 2012


Bismillah. Assalamualaikum warahmatullah. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Asr, ayat 2:

“ Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.”

Baru-baru ini ramai pihak yang menyuarakan bantahan dan kebencian dengan sikap sambil lewa kerajaan Malaysia yang menghalalkan konsert hiburan dari artis-artis luar negara seperti K-Pop dan J-Pop di Putrajaya sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Tidak dinafikan banyak aktiviti yang “bermanfaat” diadakan dalam program ini. Contohnya, booth-booth kerjaya, ceramah motivasi, pertandingan nasyid, tilawah al-Quran dan sebagainya. Namun begitu, aktiviti-aktiviti yang “bermanfaat” ini tidak mendapat sambutan ramai dari pengunjung sepertimana perhatian yang diberi pada Konsert K-Pop dan J-Pop khususnya golongan belia yang menjadi harapan negara. Konsert hiburan yang mempunyai unsur-unsur lucah seperti ini membuatkan anak muda terus lalai, hanyut dalam buaian nafsu dan lupa akan identiti mereka sebagai ummat Nabi Muhammad S.A.W.


Golongan belia yang bagaimana sebenarnya mahu dilahirkan oleh kerajaan Malaysia? Belia yang taksub dengan hiburan? Belia yang Islam hanya pada nama sahaja? Belia yang menjadi harapan negara? Adakah ini cara yang paling kritikal dapat dilakukan kerajaan?

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat 120: 

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. ”

Justeru itu, Kelab Al-Azhar Members (ALAM) tampil untuk menyatakan pendirian kami selaku salah satu persatuan intelektual belia di Malaysia seperti berikut:

1-  ALAM tidak memihak kepada mana-mana pihak sama ada penganjur mahupun pengkritik dalam memberikan pandangan mengenai isu ini.

2-  ALAM selaku organisasi yang menceburi bidang dakwah dalam Amar Ma’ruf Nahi Munkar sememangnya sangat sedih dan dukacita dengan mana-mana pihak yang mengadakan program yang melalaikan anak muda harapan negara terutamanya dari pihak yang sealiran aqidah Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

3-  ALAM juga merupakan sebuah organisasi yang sangat sayangkan negara dan rakyat. Kita juga rela gadaikan nyawa untuk mempertahankan negara demi Islam.

4-  ALAM mengharapkan supaya pihak penganjur dan kerajaan “buka mata” serta menilai apa yang telah mereka lakukan ini. Banyakkanlah berfikir dan bekerja untuk masa hadapan Islam dan negara daripada memikirkan diri sendiri.

5-  ALAM tidak mahu bersikap pengkritik semata-mata dalam isu ini, tetapi kami juga sanggup untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memulihkan keadaan anak muda kita dengan mengajak mereka mengenali Allah.

6-  Namun, ingin kami tegaskan bahawa tugas Menegah Kemunkaran adalah tanggungjawab semua pihak khususnya pihak kerajaan kerana Allah telah memberi kuasa kepada mereka. Bukannya menyuruh kepada munkar dan mencegah perkara yang baik seperti ceramah agama sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan Malaysia sekarang.

“Ya Allah, rahmatilah negara Malaysia ini, lindungilah kami daripada malapetaka yang engkau berikan. Bukalah pintu hati kami dan golongan belia di Malaysia dengan pancaran iman dan taqwa agar kami sedar tentang kesilapan kami ini, Mudahkanlah kami untuk bertaubat kepadaMu dan berubah kepada kebaikan. Ya Ghafur Ya Halim, engkau berilah hidayah kepada pemerintah kami, kepada pemimpin kami dan kepada golongan-golongan yang jauh dariMU.” Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, wassalam. "ISLAM MEMIMPIN MAHASISWA"

AMIRUL HAFIZ BIN OTHMAN
PRESIDEN KELAB AL-AZHAR MEMBERS (ALAM)
KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS)

1 pandangan:

MagHfirah***MarDhAtilLah said...

Dakwah tidak akan pernah berakhir..
*hiDup aDalah peRjuanGan*.