i APA ITU MALAM NISFU SYA'BAN? ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Friday 6 July 2012

APA ITU MALAM NISFU SYA'BAN?


Adakah anda mengetahui apa itu malam nisfu Syaaban? Kebiasaannya 15 Syaaban lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban yang mana pada malamnya terdapat banyak kelebihan. ( Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban ).

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw  tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a: Terdapat hadis Nabi SAW yang menerangkan berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban, antaranya ialah hadis yang Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 


“Apabila tiba malam nisfu Syaaban maka hidupkanlah malam tersebut dan berpuasalah di siangnya, maka sesungguhnya (hari tersebut) Allah SWT turun (membuka seluas-luas pintu rahmat) ke langit dunia apabila tenggelam matahari (malam nisfu Syaaban) sehingga terbit fajar (keesokkan) seraya berkata : Ketahuilah sesiapa yang meminta ampun kepada-Ku maka Aku akan memberikan keampunan baginya, sesiapa yang memohon rezeki kepada-Ku nescaya Aku akan memberikannya rezeki dan sesiapa yang memohon kesihatan (kesembuhan) kepada-Ku akan aku berikannya kesembuhan”  Hadis Riwayat Ibnu Majah


Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepada Mu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”


Pada malam nisfu Syaaban dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu solat Maghrib.

Maka menghidupkan malam nisfu Sya'ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid'ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.