i 55 Tahun Kemerdekaan ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Thursday 30 August 2012

55 Tahun Kemerdekaan

KEMERDEKAAN

Bismillahirrahmanirrahim..
(Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani)

APA  ERTI  NEGARA MALAYSIA TELAH  MERDEKA?? Layakkah  Malaysia mendapat kemerdekaan?? Mari kita sama-sama fahami erti merdeka yang sebenar.

 Apabila kita berbicara tentang erti kemerdekaan, mungkin setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.

Terdapat  satu hadis yang berkisarkan kemerdekaan menurut Islam yang  terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum:
Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, mengapa Rasulullah S.A.W berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi? Ini bermakna: maksud kemerdekaan yang sebenar ialah:

Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya. Kebebasan itu mestilah dibatasi oleh hukum Allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.

Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui kesedaran manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan, menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat  adalah merupakan kehidupan yang sebenar.

Mutakhir ini, mengenai isu agama, ianya mengingatkan kita kepada  isu kekejaman terhadap umat Islam yang sekarang sedang berlaku  di luar negara terutamanya Rohingya, Syria dan Palestin. Keadaan  hidup kita di sini bersenang-lenang dengan kemewahan dan keamanan yang ada. Wajarkah  kita  bersukaria menyambut ulang tahun kemerdekaan, sedangkan saudara-saudara kita di sana hidup mati berusaha mendapatkan hak yang sepatutnya mereka peroleh seperti kita. Kita sebagai saudara seIslam, apakah sumbangan  yang telah kita lakukan dalam membantu mereka untuk mencapai kemerdekaan. Adakah hanya dengan melihat sahaja atau sekadar bersimpati ? Itu yang dikatakan rakyat Malaysia tidak berani membuat perubahan. Hanya bergantung kepada insan yang lain untuk melaksanakannya.

Oleh yang demikian, peranan kita sebagai mahasiswa khususnya, kita tidak boleh mengambil mudah tentang perkara ini. Seharusnya mahasiswa  berganding bahu dan bekerjasama dalam menyedarkan rakyat Malaysia, contohnya  kita perlu menjadi  rakyat yang berani bersuara,  dan juga cakna dan respon terhadap isu dalam dan luar negara, dan yang paling penting sekali ialah  berani untuk melakukan perubahan ke  arah yang lebih baik dan juga bebas dari jajahan serta ideologi  barat.


 Abd Rahman Hilmi Bin Mat Razali
Timbalan Presiden Kelab Al-Azhar Members (ALAM)

“ISLAM MEMIMPIN MAHASISWA”

0 pandangan: